Dakwaan kerugian RM472 juta dana awam perlu diperjelas - Utusan Malaysia

Dakwaan kerugian RM472 juta dana awam perlu diperjelas

MOHD. KURNIAWAN NAIM MOKTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dakwaan kerugian RM472 juta dana awam membabitkan pelaburan dalam Zetrix AI perlu diperjelaskan bagi memastikan kedudukan sebenar pelaburan institusi berkaitan kerajaan diketahui rakyat.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata, Kementerian Kewangan dan institusi pelaburan terbabit perlu menjelaskan sama ada jumlah berkenaan merupakan kerugian atas kertas atau kerugian sebenar yang telah direalisasikan.

Katanya, perkara itu antara isu yang dibangkitkan Datuk Seri Rafizi Ramli dan memerlukan penjelasan rasmi kerajaan bagi memastikan kepentingan dana awam terus terpelihara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami menggesa Kementerian Kewangan dan institusi terbabit mendedahkan kedudukan sebenar pegangan saham serta membezakan anggaran kerugian atas kertas daripada kerugian yang telah direalisasikan, sekiranya ada,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Kurniawan berkata, penjelasan itu melibatkan pelaburan beberapa institusi termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Urusharta Jamaah.

Dalam pada itu, beliau turut meminta Kementerian Pengangkutan menjelaskan status kutipan semula tunggakan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjumlah RM314 juta.

Katanya, perkara itu susulan penggantungan pelantikan MYEG dan Zetrix AI sebagai ejen kutipan hasil JPJ, termasuk isu cek bernilai RM231 juta yang dilaporkan sebelum ini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan perlu mengesahkan status pelaksanaan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bernilai RM1.05 bilion susulan penamatan kerjasama antara HeiTech Padu dan Zetrix AI.

Beliau turut meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan jaminan bahawa pelaksanaan projek berkenaan tidak terjejas dan keselamatan data imigresen negara terus terpelihara.

Kurniawan menegaskan, penjelasan secara telus dan berasaskan fakta penting bagi memastikan pengurusan kewangan serta projek kerajaan tidak menimbulkan keraguan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini