GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti luncur angin (windsurfing) di perairan Tanjung Bungah, di sini, semalam ditemukan meninggal dunia pagi tadi.
Mangsa, Dr. Khaw Chun Sein,74, ditemukan terdampar di atas batu di pesisir pantai berhampiran Straits Quay Retail Marina pada pukul 9.56 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.42 malam semalam.
Menurutnya, mangsa dilaporkan tidak dapat dikesan ketika melakukan aktiviti luncur angin di perairan berhampiran Chinese Swimming Club, Tanjung Bungah.
”Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dengan mengaktifkan Pos Kawalan Bomba (PKB) di Chinese Swimming Club.
”Operasi berkenaan diselaraskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan bantuan JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS),” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi hari kedua melibatkan kawasan pencarian seluas 94.76 batu nautika persegi yang dibahagikan kepada lima sektor pencarian laut dan satu sektor pencarian udara.
”Mangsa kemudian ditemukan terdampar di atas batu di pesisir pantai berhampiran Straits Quay Retail Marina sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Tambahnya, selepas proses pengecaman dilakukan dan disahkan oleh waris, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN











