Bersama mungkin ‘tutup kedai’ lebih awal – Puad

Bersama mungkin ‘tutup kedai’ lebih awal – Puad

Mohd. Puad Zarkashi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) mungkin ‘tutup kedai’ lebih awal jika terlalu idealistik dalam menentukan hala tujunya.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sukar bagi sesebuah parti baharu untuk bergerak secara solo dalam landskap politik Malaysia.

Katanya, pendirian Bersama menentang politik identiti menyukarkan parti itu mencari rakan kerjasama kerana parti yang berpotensi menjadi sekutunya sudah terlibat dalam politik tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Amat sukar untuk menjadi parti solo dalam konteks Malaysia. Kena cari rakan kongsi yang semuanya sudah terbabit dengan politik identiti.

“Kalau terlalu idealistik Bersama mungkin akan tutup kedai lebih awal sebelum tamat satu generasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media melaporkan Bersama akan terus menentang politik identiti yang didakwa dibawa UMNO, PAS dan DAP meskipun gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Parti itu turut kehilangan wang deposit di 15 daripada 16 kerusi yang ditandinginya.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, usaha membina parti itu sebagai wadah untuk melawan politik identiti perlu dinilai dalam tempoh satu generasi.

Mengulas lanjut, Puad berkata, Bersama terlalu bergantung kepada Rafizi dan belum membawa isu yang mampu menarik pengundi beralih menyokong parti itu.

“Sebenarnya Bersama ketandusan isu yang boleh memikat emosi rakyat. Isu yang dibawa Bersama tidak melekat kepada emosi dan imaginasi rakyat untuk melakukan ‘swing’,” katanya.

Puad turut mempertikaikan kenyataan Rafizi bahawa PKR bermula dari kosong dengan merujuk kepada sokongan yang diterima parti itu pada peringkat awal.

“Rafizi mendabik dada, kononnya dia antara yang terawal menghidupkan PKR. Ia bermula dengan kosong.

“Tapi dia lupa, PKR didukung ramai tokoh bekas pemimpin yang ada pengikut setia. Ketika itu PKR juga bergabung dengan DAP untuk menapak naik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini