Siasatan AMLA tidak jejas projek litar lumba Sungai Petani

Siasatan AMLA tidak jejas projek litar lumba Sungai Petani

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) terhadap pelaksanaan Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani tidak menjejaskan pembangunan projek berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kemajuan fizikal fasa awal pembangunan projek berkenaan mencapai 78 peratus sebelum dijangka siap pada Jun tahun depan.

“Kerajaan negeri setakat ini, tidak menerima sebarang maklumat atau pengesahan yang mengaitkan kelewatan pelaksanaan projek berkenaan dengan siasatan di bawah AMLA oleh pihak Bukit Aman.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehingga kini, tiada impak terhadap garis masa pelaksanaan projek yang dikenal pasti berpunca daripada siasatan tersebut. Pelaksanaan projek diteruskan berdasarkan perancangan semasa melalui kaedah pembiayaan swasta (PFI),” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Teh Swee Leong (PH-Kota Darul Aman) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Pada Oktober lalu, seorang pengarah syarikat ditahan selepas disyaki melakukan pecah amanah berjumlah RM40 juta berkaitan projek berkenaan yang terbengkalai.

Tambahnya, fasa pertama projek litar itu melibatkan kos pembangunan sebanyak RM16 juta dan dilaksanakan berdasarkan Kebenaran Mula Kerja Pembinaan Litar Sementara yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pihak syarikat terlibat juga mengemukakan permohonan pengezonan dan sedang menyediakan dokumen bagi permohonan Kebenaran Merancang (KM) penuh kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).

“Sehubungan itu, sebarang pembinaan bangunan dan struktur utama hanya boleh dilaksanakan setelah kelulusan KM penuh serta kelulusan lain yang berkaitan diperoleh. Pihak syarikat juga hendaklah mematuhi semua prosedur, syarat teknikal dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkenaan,” jelasnya.

Tambah beliau, pembangunan keseluruhan, jumlah kos projek dianggarkan sebanyak RM46 juta, merangkumi RM16 juta bagi fasa awal pembangunan dan RM30 juta lagi bagi pembinaan bangunan serta struktur utama.

“Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa peruntukan asal kerajaan bagi projek ini kekal sebanyak RM30 juta, dengan RM10 juta dibelanjakan oleh pentadbiran terdahulu dan baki RM20 juta masih belum digunakan.

“Sementara itu, pembangunan semasa yang dianggarkan bernilai RM46 juta dilaksanakan melalui pembiayaan dana swasta secara PFI, tanpa menggunakan peruntukan kerajaan bagi kerja-kerja pembinaan semasa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini