PETALING JAYA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) akan terus menentang politik identiti yang dibawa UMNO, PAS dan Dap meskipun gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pendekatan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) ketika ini turut mengukuhkan politik identiti UMNO dan Pas apabila persaingan ketiga-tiga parti itu semakin memisahkan pengundi mengikut kaum.
“UMNO dan Pas memerlukan DAP untuk menakutkan pengundi Melayu. DAP memerlukan UMNO dan Pas untuk menjadi pembela kepada pengundi bukan Melayu,” katanya menerusi perkongsian video di media sosial, semalam.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, semakin kuat sokongan pengundi Melayu kepada UMNO dan Pas semakin kukuh sokongan pengundi bukan Melayu kepada DAP.
Katanya, parti lain termasuk PKR dan Amanah turut bergantung pada sokongan yang dibentuk oleh persaingan tersebut.
Menurut Rafizi, keadaan itu menyebabkan kelemahan pentadbiran lebih mudah diterima, sedangkan kecekapan mentadbir, prestasi dan mutu dasar sepatutnya menjadi ukuran dalam menilai sesebuah parti.
“Kami percaya untuk melawan politik identiti di kedua-dua spektrum, kami perlu berani bermula dengan membina kekuatan sedikit demi sedikit untuk memadamkan api besar politik identiti ini,” katanya.
Mengulas keputusan PRN Melaka, Rafizi berkata, keputusan itu sudah dijangka dan beliau melihat perubahan sokongan pengundi sebagai ukuran perkembangan Bersama yang genap enam bulan minggu ini.
“Pada peringkat ini, saya tidak menilai potensi Bersama daripada segi jumlah kerusi yang dimenangi,” katanya.
Menurut analisis yang dikongsikannya, Bersama meraih 7.68 peratus undi di kerusi campuran yang ditandinginya di Melaka berbanding 3.49 peratus pada PRN Johor manakala di kerusi majoriti bukan Melayu, peratusan itu meningkat daripada 3.26 kepada 6.52 peratus.
Di kerusi majoriti Melayu yang ditandingi Bersama di Melaka, parti itu meraih purata 4.26 peratus undi, dengan peratusan tertinggi dicatatkan di Sungai Udang pada enam peratus.
Bersama kehilangan wang deposit di 15 daripada 16 kerusi yang ditandinginya di Melaka.
Calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr. Muhammad Solehin Saleh, menjadi satu-satunya calon parti itu yang mengekalkan deposit selepas memperoleh 4,140 undi. – UTUSAN










