HAT YAI (THAILAND): Tiga pemandu rakyat Malaysia sekali lagi mencetuskan kemarahan penduduk bandar ini apabila memandu kereta masing-masing secara beriringan sehingga menyusahkan pengguna jalan raya lain, awal pagi semalam.
Mereka dikesan berbuat demikian di sepanjang Jalan Phetkasem bermula dari hadapan Dewan Bandaraya Hat Yai dan membuat pusingan ‘U’ di hadapan sebuah restoran, dengan didahului sebuah kereta Thailand yang merakam aksi itu.
Malah, mereka juga didapati memandu di bulatan berhampiran dengan membuat beberapa pusingan.
Timbalan Inspektor Trafik Balai Polis Hat Yai, Leftenan Prut Pattanapran berkata, ketiga-tiga pemandu terbabit berusia dalam lingkungan 20-an tidak menyedari perbuatan mereka dirakam pengguna jalan raya lain, yang kemudian menyiarkannya di halaman Facebook.
Beliau berkata, kejadian berlaku apabila sekumpulan pemandu rakyat Malaysia menaiki tiga kereta memandu perlahan secara beriringan di laluan tiga lorong di Jalan Phetkasem menyebabkan kenderaan lain tidak boleh memotong mereka, pada pukul 12.28 pagi.
“Pihak polis kemudian mengesan ketiga-tiga kereta sebelum menahan mereka untuk soal siasat dan pemeriksaan. Mereka mendakwa melakukan perbuatan demikian bertujuan membuat rakaman video peribadi, bukan berlumba.
“Mereka juga mendakwa tidak mengetahui undang-undang Thailand. Melalui seorang jurubahasa, ketiga-tiga pemandu berkenaan memohon maaf di atas perbuatan mereka yang menyusahkan pengguna jalan raya lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Prut berkata, hasil soal siasat, dua daripada mereka mengaku melancong ke Thailand buat kali pertama, manakala seorang lagi telah beberapa kali datang ke bandar ini.
Menurutnya, ketiga-tiga pemandu terbabit mengaku pertuduhan memandu dengan cara yang menghalang lalu lintas dan paip ekzos mengeluarkan bunyi bising melebihi tahap yang ditetapkan, dan membayar denda lebih RM200 setiap pemandu.
Sehubungan itu, Prut memberi amaran kepada semua pemandu yang memasuki Thailand, sama ada untuk melancong atau melakukan penggambaran, supaya mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan dan mengelak kesulitan.
Pada 17 Mei tahun lalu, 10 rakyat Malaysia berusia 21 dan 25 tahun bersama enam kereta ditahan kerana memandu secara berbahaya, menguji kelajuan kenderaan masing-masing dan menghalang lalu lintas di Hat Yai, kira-kira pukul 1.23 pagi. – UTUSAN











