SEBAGAI kakitangan kerajaan, saya melihat kemahiran mendengar sebagai antara elemen penting dalam membentuk kepimpinan dan organisasi yang berkesan.
Perkongsian Justin Wright di LinkedIn mengenai lima tahap kemahiran mendengar, daripada sekadar menunggu giliran bercakap hingga memahami mesej tersirat, membuka ruang untuk menilai kepentingan amalan tersebut dalam pengurusan sumber manusia sektor awam.
Peranan pengamal sumber manusia kini bukan lagi terhad kepada urusan pentadbiran seperti cuti, kenaikan pangkat dan tindakan disiplin. Sebaliknya, mereka turut menjadi penggerak strategik dalam membina organisasi yang berdaya saing, prihatin serta mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Namun, cabaran utama ialah kecenderungan sesetengah pegawai untuk mendengar sekadar memberikan respons. Bebanan tugas dan prosedur kerja yang ketat menyebabkan mereka lebih tertumpu kepada penyelesaian pentadbiran berbanding memahami masalah yang dikemukakan.
Akibatnya, aduan atau keluhan penjawat awam mungkin dianggap sebagai urusan rutin, bukannya isu yang memerlukan perhatian dan pertimbangan sewajarnya. Keadaan ini boleh menjejaskan komunikasi serta menghakis kepercayaan terhadap pengurusan organisasi.
Justeru, pengamal sumber manusia perlu mengutamakan pendengaran yang berasaskan kefahaman. Mereka bukan sahaja perlu meneliti maklumat, malah memahami latar belakang sesuatu masalah sebelum membuat penilaian. Pendekatan ini penting ketika penjawat awam berhadapan perubahan dasar, transformasi digital dan peningkatan tuntutan kerja.
Keputusan yang dibuat berdasarkan pemahaman menyeluruh lebih berupaya menjamin keadilan serta mengelakkan tindakan terburu-buru.
Selain itu, kepekaan emosi juga perlu menjadi sebahagian daripada kompetensi profesional. Isu perpindahan, tanggungjawab keluarga dan tekanan berhadapan orang awam boleh menjejaskan kesejahteraan mental seseorang pegawai.
Keupayaan mengesan keresahan di sebalik percakapan membolehkan sokongan seperti kaunseling, penyesuaian beban tugas atau bantuan psikologi diberikan lebih awal sebelum keadaan menjadi serius.
Pada tahap lebih tinggi, pengamal sumber manusia perlu peka terhadap perkara yang tidak diluahkan secara terbuka. Budaya hierarki dalam perkhidmatan awam kadangkala menyebabkan pegawai bawahan keberatan menyuarakan ketidakpuasan hati atau kelemahan organisasi.
Sikap terbuka dan empati dapat mewujudkan persekitaran selamat supaya setiap warga kerja berani menyampaikan pandangan tanpa bimbang dipinggirkan.
Kemahiran ini juga perlu dicontohi ketua jabatan dan penyelia. Pemimpin yang bersedia mendengar mampu mengesan kelemahan organisasi lebih awal, memperkukuh hubungan kerja serta membina kepercayaan dalam kalangan warga perkhidmatan. –UTUSAN
DR. MOHD. RAFIZI RAHMAD
Naib Presiden 1,
Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM)











