Fernandes nilai kemampuan Pochettino

Fernandes nilai kemampuan Pochettino

Bruno Fernandes
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes belum bersedia membincangkan kontrak baharu bersama The Red Devils kerana mahu menilai kemampuan pengurus baharu, Mauricio Pochettino, mengembalikan prestasi pasukan itu.

Pemain tengah itu dilaporkan kecewa dengan perjalanan hambar kelab musim ini sehingga menyaksikan Michael Carrick dipecat selepas United tergelincir ke zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Fernandes, 32, yang kontraknya akan tamat musim panas tahun depan, turut melalui kempen mengecewakan apabila digugurkan Carrick bulan lalu susulan kritikan terbuka terhadap taktikal pengendali itu selepas United dibelasah Como 1-4 dalam saingan Liga Juara-Juara.

Memuatkan artikel berkaitan…

United mempunyai pilihan melanjutkan kontrak Fernandes selama setahun dan dijangka mengaktifkan klausa itu sebelum Januari bagi mengelakkan dia memeterai perjanjian prakontrak dengan kelab luar negara.

Bagaimanapun, Fernandes dilaporkan sudah menolak dua tawaran kontrak baharu, meskipun barisan kepimpinan tertinggi kelab masih yakin pemain itu mahu kekal di Old Trafford.

Menurut laporan The Sun, Fernandes mahu melihat perkembangan pasukan di bawah kendalian Pochettino sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya.

“Bruno mahu melihat apa yang berlaku sepanjang baki musim ini sebelum membuat komitmen.

“Hubungannya dengan kelab mengalami pasang surut sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dia pernah menikmati musim terbaik dalam kariernya, namun tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan dibuat sejak Sir Jim Ratcliffe dan Ineos mengambil alih sebahagian kepentingan kelab,” menurut sumber yang dipetik laporan itu.

Sumber sama mendakwa Fernandes mahu melihat Pochettino mendapat sokongan sewajarnya daripada pihak pengurusan, selain berasakan dia dan beberapa pemain lain seolah-olah diletakkan dalam situasi sukar untuk gagal musim ini.

Malah, hubungan pemain dengan syarikat Ineos serta beberapa pegawai kanan kelab, termasuk ketua pegawai eksekutif, Omar Berrada dan pengarah bola sepak, Jason Wilcox, turut didakwa semakin renggang.

“Pemain berpendapat kegagalan mendapatkan seorang lagi bek kiri pada jendela perpindahan musim panas lalu tidak boleh dimaafkan. Mereka juga keliru dengan beberapa keputusan yang dibuat sehingga wujud jurang antara pemain dan pihak pengurusan,” kata sumber itu.

Fernandes ketika ini dilaporkan menerima gaji sekitar 300,000 pound (RM1.6 juta) seminggu, iaitu 25,000 pound (RM134,953) lebih rendah berbanding pemain bergaji tertinggi kelab, Marcus Rashford.

Beberapa kelab Arab Saudi sebelum ini dilaporkan berminat mendapatkan khidmat Fernandes, manakala kelab dari Turkiye dan Itali turut dikaitkan dengan pemain berusia 32 tahun itu.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini