Ab Rauf angkat sumpah Ketua Menteri Melaka

Ab Rauf angkat sumpah Ketua Menteri Melaka

AB. Rauf Yusoh membaca watikah pada Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Rahsia Sebagai Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Ayer Keroh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Dr. Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri bagi penggal kedua hari ini.

Ab Rauf mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam pada pukul 12.10 tengahari hari ini.

Majlis angkat sumpah itu berlangsung susulan kejayaan gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Gabungan BN dan PN memperoleh 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, sekali gus membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Daripada jumlah itu, BN memenangi 21 kerusi manakala PN memperoleh tiga kerusi.

Turut hadir majlis tersebut, Isteri kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Melaka, Toh Puan Dr. Asmah Ab. Rahman dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

Selain itu, turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan PN yang memenangi kerusi di PRN Melaka ke 16.

Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan Ab Rauf akan terus diberi kepercayaan untuk menerajui kerajaan negeri bagi penggal kedua susulan kemenangan gabungan itu pada PRN kali ini.

Ab Rauf turut mencatat kemenangan dengan majoriti 8,615 undi apabila berjaya mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara, berbanding majoriti hanya 364 undi pada PRN Melaka ke-15 pada 2021.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Yunazri Mustamiri dalam pertandingan satu lawan satu di kerusi berkenaan.

Pada PRN 2021, Ab Rauf memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 3,559 undi, mengatasi calon PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mendapat 3,195 undi, manakala calon PH, Zainal Hassan memperoleh 489 undi.

Ab Rauf sebelum ini dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 pada 31 Mac 2023 bagi menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang meletakkan jawatan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini