KUALA KANGSAR: Para pemimpin dan pemegang jawatan wajib menjunjung integriti dalam memastikan suara serta rintihan rakyat sampai kepada pengetahuan raja.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, para pembesar dan pemegang jawatan wajib memahami bahawa kedudukan yang dikurniakan, menuntut keluhuran budi, keikhlasan berkhidmat serta menjauhkan kepentingan diri.
“Raja yang mewarisi alat kebesaran diamanahkan tanggungjawab untuk memelihara kehormatan takhta melalui pemerintahan yang adil.
“Para pembesar yang mendampingi takhta, wajib menjunjung integriti, menyembahkan nasihat yang benar betapa pahit sekalipun dan memastikan suara dan rintihan rakyat sampai kepada pengetahuan raja, agar raja pemerintah tidak leka diulit mimpi indah tetapi palsu,” titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah sedemikian dalam istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-70 Sultan Perak di Istana Iskandariah Kuala Kangsar di sini hari ini.
Dalam titah itu juga, Sultan Perak berkenan menyentuh mengenai dua alat kebesaran diraja, iaitu Pedang Cura Si Manja Kini dan Keris Taming Sari yang diwarisi oleh Kesultanan Perak daripada Kerajaan Kesultanan Melaka.
Titah baginda, di sebalik bilah, hulu dan sarungnya, terkandung ingatan tentang asal usul kerajaan serta amanah yang menghubungkan raja dengan rakyat, pemerintah dengan negeri, dan generasi terdahulu dengan generasi hari ini.
“Pada bilah kedua-dua alat kebesaran diraja ini tersirat keberanian, pada hulunya terukir kebijaksanaan, pada sarungnya terkandung adab dan batas tindakan.
“Warisan yang mengingatkan kita bahawa kekuatan hendaklah dipandu oleh akal, keberanian dipimpin kebenaran, dan kekuasaan dilaksanakan dengan adil,” titah Sultan Nazrin.
Titah Baginda, semangat keberanian itu sewajarnya diterjemahkan melalui keteguhan menegakkan kebenaran.
“Keberanian wajib dipandu oleh kebijaksanaan, kesetiaan wajib disertai kejujuran, kuasa wajib dilaksanakan dengan keadilan, nilai-nilai yang perlu menghidupkan penghayatan kita terhadap warisan kebesaran diraja,” titah baginda.
Sultan Perak bertitah, sebarang istiadat memperoleh makna apabila menumbuhkan keinsafan terhadap tanggungjawab dan negeri beraja rakyat bersultan membawa pengertian bahawa takhta dan rakyat dihubungkan oleh tanggungjawab bersama.
Baginda juga berpandangan, semakin pantas sesebuah masyarakat melangkah ke hadapan, semakin penting masyarakat mengenali akar sejarah dan asas jati diri.
Titah Sultan Nazrin, kuasa wajib disempurnakan secara adil, pertimbangan wajib berpandukan hikmah dan keputusan wajib menimbangkan kesejahteraan rakyat.
“Ketajaman bilah mengingatkan kita supaya tajam membezakan kebenaran daripada kepalsuan. Keteguhan genggaman mengingatkan kita supaya teguh memegang amanah sarungnya yang memelihara bilah, mengajak kita memahami pentingnya adab dan kawalan diri ketika memiliki kuasa dan kekuatan,” titah baginda.
Baginda bertitah, dalam pemerintahan moden, amanah pemerintahan menuntut penghormatan terhadap Perlembagaan, keluhuran undang-undang, keadilan pentadbiran dan perlindungan terhadap kesejahteraan rakyat. – UTUSAN










