KUALA TERENGGANU: Seramai 207 penumpang termasuk kru penerbangan Qingdao Airlines dari China terkandas di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini selepas pesawat jenis Airbus A321neo yang mereka naiki gagal mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akibat cuaca buruk lewat petang semalam.
Pesawat yang mengendalikan penerbangan QW907 itu difahamkan turut gagal dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebelum terpaksa mendarat di LTSM berikutan kekurangan bahan api.
Menurut sumber, kesemua penumpang terbabit ditempatkan sementara di Balai Berlepas Antarabangsa LTSM sementara menunggu urusan pengisian semula bahan api dan penerbangan seterusnya.
Bagaimanapun, proses pengisian bahan api mengambil masa berikutan LTSM tidak mempunyai kemudahan sambungan terus bagi pengisian semula bahan api pesawat.
Katanya, bekalan bahan api perlu dibawa masuk dari Kuantan, Pahang atau Kota Bharu, Kelantan sebelum pesawat berkenaan boleh meneruskan penerbangan.
“Bekalan minyak berkemungkinan dibawa dari Kuantan atau Kota Bharu dan selepas pengisian selesai, barulah pesawat dapat meneruskan penerbangan,” katanya dketika ditemui di sini.
Sementara menunggu urusan berkenaan selesai, kesemua penumpang ditempatkan di tiga hotel sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan menggunakan pengangkutan yang disediakan menerusi lima perjalanan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan pendaratan pesawat Qingdao Airlines (QW907) dari China di LTSM yang membawa 207 orang termasuk penumpang dan kru.
Menurutnya, pesawat berkenaan selamat mendarat di lapangan terbang itu selepas terpaksa dilencongkan berikutan faktor cuaca. – UTUSAN










