KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dipantau sendiri oleh Perdana Menteri bagi memastikan pelaksanannya berkesan dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berintegriti dan mempunyai semangat patriotisme tinggi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemantauan itu termasuk dengan beliau mempengerusikan mesyuarat bersama menteri berkaitan setiap beberapa bulan bagi meneliti pelaksanaan serta keberkesanan modul latihan yang diterapkan kepada peserta.
Menurutnya, PLKN bukan sekadar program latihan fizikal dan ketenteraan sebaliknya merupakan dasar penting kerajaan dalam membentuk jati diri serta kefahaman generasi muda terhadap tanggungjawab mempertahankan masa depan negara.
“Saya anggap hal ini serius, sebabnya saya beritahu dan tekankan, yang saya tekankan tentang PLKN.
“Mulanya hanya akademi kenegaraan tapi saya kata tak mampu dikendalikan. Maka polis juga ambil alih. Ya, dan sudah tentu angkatan tentera punya kemudahan dan kepakaran untuk menambah dalam sukatan dan modul latihan.
“Dan kita anggap ini suatu dasar. Saya selang beberapa bulan, saya akan pengerusikan sekali mesyuarat, panggil semua menteri untuk dengar, hujah, beri pandangan,” katanya ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Kem Regimen 515 Askar Wataniah di sini hari ini.
Anwar berkata, pengisian PLKN perlu memberi penekanan terhadap pembentukan nilai integriti, perpaduan dan sikap saling menghormati dalam kalangan generasi muda.
Katanya, peserta juga perlu memahami asas pembentukan negara termasuk kedudukan bahasa Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, kefahaman itu penting supaya generasi muda tidak mudah terpengaruh dengan sentimen perpecahan dan naratif toksik yang boleh menggugat keharmonian negara.
“Anak-anak di sini punya tanggungjawab 10, 20 tahun lagi. Punya pengaruh apa pengisian dalam latihan PLKN ini dan juga dalam akademi.
“Itu yang kita nak terapkan kerana kita nak jamin masa depan kita itu terkawal,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan peserta bahawa kemajuan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada penguasaan ilmu dan teknologi, tetapi turut memerlukan kebijaksanaan, prinsip serta nilai kemanusiaan.
Katanya, negara boleh mengalami kemerosotan sekiranya generasi pemimpinnya gagal mempertahankan integriti dan membiarkan rasuah menjadi budaya.
“Ini kursus-kursus seperti PLKN ini untuk bagi suntikan semangat dan keyakinan bahawa negara itu harus diselamatkan dengan prinsip, dengan idealisme,” katanya. – UTUSAN











