Peraturan sekat kebebasan mahasiswa akan dibatal dalam dua minggu - Utusan Malaysia

Peraturan sekat kebebasan mahasiswa akan dibatal dalam dua minggu

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentangkan cadangan bagi membatalkan sebarang peraturan yang menyekat kebebasan mahasiswa bersuara di Parlimen dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap kepimpinan negara, termasuk Perdana Menteri.

Menurutnya, beliau sudah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya memansuhkan peraturan yang menghalang mahasiswa daripada menyuarakan pandangan dan teguran secara terbuka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Baru-baru ini saya sudah beritahu Kementerian Pendidikan Tinggi, peraturan yang menyekat kebebasan mahasiswa berbicara itu harus dihapuskan.

“Jadi dalam tempoh satu dua minggu ini kita akan bentangkan di Parlimen untuk membatalkan mana-mana peraturan yang menyekat kebebasan mahasiswa bersuara, menegur, termasuk menegur Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Kem Regimen 515 Askar Wataniah di sini hari ini.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan sehingga mengandungi unsur ugutan atau hasutan untuk melakukan jenayah.

Beliau berkata, mahasiswa bebas mengkritik keupayaan atau kebijaksanaannya dalam mentadbir negara kerana perkara itu merupakan sebahagian daripada hak untuk menyuarakan pandangan.

Katanya, golongan muda juga perlu diberikan ruang untuk mengemukakan soalan, pandangan dan teguran, termasuk mengenai perkara yang tidak dipersetujui kerajaan.

“Dalam acara Temu Anwar, ada yang tanya macam-macam dan saya terpaksa layan dan dengar. Ada saya setuju, ada saya tak dapat setuju.

“Ada yang pandangannya yang tidak menyenangkan. Tetapi ini ruang bagi anak-anak muda suarakan. Kalau betul-betul kita kasih kepada anak-anak kita, kita mesti beri ruang dia tanya dan belajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini