ALOR GAJAH: Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berpuas hati dengan sambutan awal pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini apabila lebih 500 orang dilaporkan hadir ke pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di sini sebelum pukul 9 pagi.
Ab. Rauf berkata, jumlah kehadiran itu menunjukkan sambutan yang menggalakkan daripada pengundi yang keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Saya amat berpuas hati. Pagi ini sebelum pukul 9, saya dimaklumkan sudah lebih 500 orang yang datang.
“Terima kasih banyak-banyak warga Melaka, terima kasih banyak-banyak warga Tanjung Bidara,” katanya ketika ditemui selepas selesai menunaikan tanggungjawab mengundi bersama isterinya, Datin Seri Zuriyah Abd. Aziz.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu tiba di pusat mengundi kira-kira pukul 8.15 pagi sebelum membuang undi sekitar 8.35 pagi.
Beliau turut memuji kelancaran proses pengundian yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, urusan pengundian berjalan dengan teratur dan tidak menyusahkan pengundi yang hadir untuk melaksanakan tanggungjawab.
“Saya lihat tugas yang dijalankan oleh pegawai SPR memang teratur dan tidak menyusahkan pengundi yang datang.
“Ini satu usaha yang baik bagi memudahkan rakyat datang mengundi,” katanya.
Beliau menyeru pengundi yang belum menunaikan tanggungjawab supaya keluar mengundi seawal mungkin berikutan jangkaan hujan pada sebelah petang.
“Saya harapkan kalau boleh sebelah pagi ini keluarlah secepat mungkin kerana mengikut ramalan cuaca, sebelah petang dijangka hujan.
“Tetapi apa juga sekali pun, kita telah menyediakan kemudahan untuk membantu mereka ketika hujan,” katanya. – UTUSAN











