AMK desak Hadi Awang beri penjelasan - Utusan Malaysia

AMK desak Hadi Awang beri penjelasan

MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa sejahat-jahat orang Islam yang memerintah tidak akan sezalim orang bukan Islam.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Munim berkata, kenyataan bersifat ekstrem dan sarat dengan prasangka agama sahaja tidak bertanggungjawab, malah berpotensi menyemarakkan sentimen kebencian serta

memecahbelahkan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan kepercayaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seharusnya kedudukan dan keilmuan tersebut digunakan untuk memupuk kefahaman Islam yang berteraskan keadilan, kebijaksanaan dan kemuliaan akhlak, bukannya membina persepsi bahawa seseorang yang beragama Islam mempunyai kelebihan moral secara mutlak berbanding penganut agama lain, sekalipun melakukan kezaliman.

“Islam tidak pernah memberikan kekebalan moral kepada mana-mana individu hanya kerana identiti agamanya. Keadilan dalam Islam ialah prinsip yang wajib ditegakkan tanpa mengira bangsa, keturunan, agama mahupun kedudukan seseorang,” katanya dalam kenyataan. 

Katanya lagi, cubaan membandingkan darjat kezaliman berdasarkan identiti agama merupakan suatu penyimpangan daripada prinsip keadilan yang menjadi asas penting dalam ajaran Islam.

“Kenyataan Presiden Pas ini juga menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan parti tersebut dalam membina kerjasama politik merentas kaum dan agama. 

“Apakah pandangan sedemikian turut terpakai kepada pemimpin MCA dan Gerakan yang menjadi rakan politik PAS? Atau prinsip berkenaan hanya digunakan apabila berhadapan dengan pihak yang berbeza pendirian politik?,” soalnya. 

Katanya lagi, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, pemimpin politik mempunyai tanggungjawab moral yang besar untuk memelihara keharmonian dan saling menghormati antara masyarakat. 

Katanya, perbezaan politik tidak wajar dijadikan alasan untuk menyemai prasangka terhadap penganut agama lain, apatah lagi dengan menggunakan agama sebagai sandaran kepada generalisasi yang tidak adil.

“Keimanan seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk meremehkan salah laku, penindasan atau pengkhianatan terhadap amanah yang dipikulnya.

“Sehubungan itu, AMK mendesak Tan Sri Abdul Hadi Awang memberikan penjelasan secara terbuka dan menarik balik kenyataan tersebut. Beliau juga wajar memperbetulkan persepsi yang telah ditimbulkan agar masyarakat tidak terus dikelirukan mengenai tuntutan sebenar keadilan dalam Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini