WASHINGTON: Objek angkasa yang dipercayai asteroid kecil berhampiran Bumi mencetuskan teori ia berkemungkinan sebuah kapal angkasa milik bekas Kesatuan Soviet yang hilang sejak empat dekad lalu.
Teori itu dikemukakan Profesor Universiti Harvard, Avi Loeb, susulan pergerakan objek dikenali sebagai 1998 KY26 yang dikesan semakin pantas pada kadar tidak dapat dijelaskan oleh pengaruh graviti Matahari atau planet lain.
Loeb percaya objek itu mungkin Phobos 1, kapal angkasa yang dilancarkan pada 1988 untuk menjalankan misi ke Marikh, tetapi hilang beberapa bulan selepas memulakan perjalanan.
Beliau berpendapat saiz dan pergerakan luar biasa 1998 KY26 mungkin menjadi petunjuk ahli astronomi akhirnya menemukan semula kapal angkasa berkenaan.
Kajian penyelidik dari Institut Teknologi Georgia mendapati objek sepanjang kira-kira 11 meter itu mengalami peningkatan kelajuan yang masih belum dapat dijelaskan.
Objek sebesar bas sekolah itu berputar sekali setiap 5.35 minit, iaitu kadar sangat pantas bagi jasad berbatu di angkasa.
Ketika ini, 1998 KY26 berada kira-kira 304 juta kilometer dari Bumi, namun orbitnya dijangka membawanya pada jarak sekitar 51.5 juta kilometer dari planet ini pada 2028.
Agensi Angkasa Eropah (ESA) menganggarkan objek itu akan berada lebih dekat dengan Bumi pada 2039, iaitu kira-kira 16 juta kilometer.
Pada 2023, saintis mula mengesan pergerakan 1998 KY26 yang lebih pantas daripada biasa selepas meneliti data teleskop yang dikumpulkan sepanjang 25 tahun sebelumnya.
Rekod jangka panjang itu menunjukkan objek berkenaan menerima dorongan tambahan yang kecil tetapi berterusan, menyebabkan laluannya berubah daripada jangkaan saintis berdasarkan pengaruh graviti semata-mata.- AGENSI











