PM bimbang keselamatan anggota polis susulan insiden tetak di Kepong

PM bimbang keselamatan anggota polis susulan insiden tetak di Kepong

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan anggota keselamatan berhubung insiden seorang anggota polis yang diserang dan ditetak di Kepong, kelmarin.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut memaklumkan bahawa prosedur sedia ada membenarkan anggota polis mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan diri menjadi keutamaan ketika menjalankan sebarang operasi.

“Jemaah Menteri hari ini turut dimaklumkan bahawa pembedahan untuk menyambung semula tangan anggota polis terbabit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berjaya dilakukan selepas mengambil masa tujuh jam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa pakar pembedahan di HKL telah berjaya melaksanakan tugas ini dan anggota polis tersebut telah menunjukkan perkembangan yang positif dengan keupayaan menggerakkan beberapa jari dari tangan yang terkesan.

“Walau bagaimanapun, Perdana Menteri tetap menyatakan kerisauannya tentang apa yang telah berlaku,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Dalam insiden pada malam Rabu lalu di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong itu, Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak lelaki warga asing bersenjatakan parang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini