BANGKOK: Thailand memperkenalkan aplikasi pembayaran baharu yang membolehkan pelancong asing menggunakan mata wang kripto bagi merancakkan semula perbelanjaan sektor pelancongan negara itu.
Aplikasi WORPT membolehkan pelancong menukar mata wang kripto kepada baht sebelum menggunakannya untuk membuat pembayaran di kedai dan restoran menerusi imbasan kod bar yang digunakan secara meluas di negara itu.
Kemudahan itu membolehkan pelancong membuat transaksi tanpa perlu memiliki akaun bank Thailand.
Aplikasi berkenaan dibangunkan oleh Wipay dan Waan Exchange, syarikat yang diasaskan oleh Chaval Jiaravanon daripada keluarga Chearavanont, antara keluarga bilionair terkemuka Thailand.
WORPT beroperasi di bawah TouristDigiPay, program perintis kawal selia yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand.
Perkhidmatan pembayaran menggunakan mata wang kripto yang menyasarkan pelancong asing turut diperkenalkan di Bhutan dan Brazil pada 2025.
Pelancaran aplikasi itu dibuat ketika jumlah ketibaan pelancong asing ke Thailand dijangka mencatatkan penurunan untuk tahun kedua berturut-turut, selain hasil daripada sektor pelancongan antarabangsa turut merosot.
Sektor pelancongan merupakan antara pemacu utama ekonomi Thailand, sekali gus mendorong kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih ramai pelancong yang mempunyai kuasa perbelanjaan tinggi.
Menurut pengasas Wipay, Pavin Jittiwongsamarn, WORPT menyasarkan pemegang mata wang kripto dari Korea Selatan, Jepun, Timur Tengah dan Asia Tenggara.
Syarikat itu menyasarkan 200,000 pengguna pada tahun pertama operasi serta menjangkakan nilai perbelanjaan mencecah 15 bilion baht (RM1.9 bilion) sepanjang tempoh percubaan selama 18 bulan.-AGENSI











