Mahasiswa terperangkap permainan politik

Mahasiswa terperangkap permainan politik

PILIHAN raya kampus perlu mendidik mahasiswa berpolitik secara matang, bukan sekadar membangkitkan isu demi meraih kuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABU lalu, mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) keluar mengundi bagi pilihan raya kampus tahun ini. 

Seperti tradisinya di kampus ini, pemilihan Presiden Kesatuan Mahasiswa UIAM  dimulakan sesi perdebatan antara calon-calon Presiden.

Tahun ini, saya dijemput untuk menjadi pemudah cara sesi tersebut, yang mana kami menyaksikan pertembungan terbesar dalam sejarah kesatuan mahasiswa dengan persaingan empat penjuru.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seperti biasa, sesi ini menjadi panas dengan pertelingkahan antara calon-calon, malah hadirin turut diberi ruang untuk bertanyakan soalan. Malang sekali, seperti politik tanah air, kebanyakan perbincangan hanya sekadar di awang-awangan.

Malangnya, sudah menjadi lumrah dalam masyarakat demokratik, sama ada di peringkat kampus mahupun negara, apabila setiap pihak yang berpolitik sanggup menggunakan pelbagai cara untuk memikat hati pengundi tanpa mengira batas, semata-mata demi mempertahankan kuasa.

Isu yang dibahaskan kebanyakannya berkisar pada hal peribadi atau usaha menonjolkan pencapaian masing-masing, bukannya menjawab perkara yang saya bangkitkan. Akibatnya, perbincangan menjadi kurang produktif dan lebih menyerupai pertandingan untuk melihat siapa mampu berucap dengan paling lantang, tegas dan yakin.

Namun begitu, isu paling hangat yang timbul daripada sesi perdebatan itu bukanlah kandungan yang dibawa oleh calon, sebaliknya soal bahasa yang mencetuskan perdebatan di media sosial.

Bagi yang tidak mengenali UIAM, sebagai sebuah universiti antarabangsa, institusi pengajian tinggi (IPT) ini merupakan satu-satunya universiti awam yang tidak menggunakan bahasa Melayu. Sebaliknya, bahasa utamanya ialah Inggeris dan bahasa rasmi keduanya ialah Arab.

Hal ini memudahkan perhubungan antara satu sama lain oleh kerana jumlah pelajar luar negara yang ramai. Oleh yang demikian, mereka yang merantau jauh dari negara lain turut terangkum dalam ekosistem mahasiswa seperti pelajar lain.

Walau bagaimanapun, ramai yang tidak menghormati hal ini dan enggan menggunakan bahasa Inggeris, sebaliknya menggunakan bahasa Melayu dalam perbincangan yang melibatkan pelajar antarabangsa.

Ini termasuklah dalam konteks pilihan raya. Ramai dalam kalangan penyokong calon-calon yang bertanding lebih gemar melaungkan slogan bahasa Melayu. Hal ini menyebabkan seorang pelajar luar negara bersuara untuk meminta mereka menggunakan bahasa Inggeris agar lebih inklusif semasa sesi perdebatan tersebut.

Walaupun pada awalnya mereka akur, keadaan berubah apabila masing-masing secara tidak sengaja menggunakan beberapa ayat dalam bahasa Melayu. Apabila ditegur sekali lagi oleh perwakilan pelajar luar negara, teguran dan permintaan itu pula disambut dengan gelak tawa oleh sebahagian besar hadirin.

Lebih teruk lagi, ada pula mencurahkan minyak ke api dengan mengajuk dan mengejek mereka, termasuk apabila seorang pelajar luar negara bangun bertanya soalan.

Malang sekali, inilah realiti politik kita, sama ada di kampus mahupun di tanah air. Kita sering memperlekehkan sesiapa sahaja yang dilihat mencabar kita, walaupun ia hanyalah teguran yang patut diambil dengan hati terbuka untuk memperbaiki diri sendiri.

Perkara ini menjadi tular dalam kalangan pelajar UIAM apabila rakaman saat tersebut disebar di media sosial. Seperti biasa, pihak-pihak berpolitik kampus dengan lajunya mengatakan ini bukan salah mereka dan sebaliknya salah pihak lain. Tiba-tiba menjadi isu politik berbanding isu sosial.

Ini mengalih perhatian kita daripada memahami masalah penindasan terhadap pelajar luar negara. Sebaliknya, ramai kini merasakan isu penggunaan bahasa yang tidak difahami pelajar antarabangsa ini hanya sekadar isu politik kerana sesetengah pihak mempolitikkannya.

 

ISU RAKYAT JADI MODAL POLITIK 

Walhal, isu ini sebenarnya merupakan masalah sistemik dalam masyarakat kampus, sebagaimana halnya dengan diskriminasi terhadap orang kurang upaya (OKU). Masalah seperti ini perlu difahami dan ditangani bersama oleh semua pihak, termasuk masyarakat umum. Namun, ia sebaliknya dilihat sekadar sebagai pertelingkahan antara kelompok elit politik.

Begitulah juga dengan politik negara. Ramai menggunakan isu-isu seperti rasuah sebagai bahan politik untuk menyerang satu pihak secara khusus, hinggakan orang ramai merasakan rasuah hanyalah senjata politik. Walhal, rasuah merupakan wabak yang menjejaskan semua pihak dan lapisan masyarakat tidak kira ideologi mereka.

Setiap kali berlakunya pilihan raya, isu rasuah akan dibangkitkan bagi menyuruh rakyat untuk tidak mengundi pihak itu dan ini. Oleh itu, sampai sudah kita tidak menyelesaikan masalah rasuah dalam masyarakat kerana kita terlalu sibuk menggunakan isu tersebut untuk menjatuhkan orang lain.

Politik kampus sepatutnya menjadi wadah untuk mendidik mahasiswa menjadi lebih matang berpolitik dan tidak memanipulasikan sistem demokrasi atau tertipu oleh anasir yang memanipulasikan sistem pemilihan ini untuk kepentingan diri sendiri.

Malang sekali, mahasiswa telah belajar daripada sudut terburuk ahli politik negara yang mempergunakan rakyat dan nilai-nilai murni demi kuasa.

Sepertimana ahli politik negara memainkan isu seperti amanah, agama dan sebagainya untuk menyerang sesuatu pihak, begitu jugalah ahli politik kampus menggunakan isu penindasan pelajar untuk menyerang pihak lain.

Akhirnya, tiada yang akan menyelesaikan masalah yang sebenarnya. Sekali lagi, sistem demokrasi hanya dijadikan alat untuk berkuasa dan bukannya untuk berkhidmat.

Inilah sebabnya negara-negara tidak demokratik seperti China kadangkala boleh menjadi lebih maju kerana tidak perlu bergantung kepada populariti.

Dalam konteks kita, untuk kekal popular, sebahagian daripada pemimpin baik di peringkat politik universiti mahupun negeri, lebih mementingkan perkara sensasi berbanding menangani masalah sebenar dihadapi masyarakat. 

Akhirnya, agenda memenangi pilihan raya menjadi lebih penting bagi mereka berbanding melaksanakan tanggungjawab selaku pemimpin.

Akhirnya, rakyat tetap menjadi mangsa apabila masalah yang mereka hadapi terus menanti penyelesaian. Isu yang sepatutnya ditangani secara bersungguh-sungguh oleh ahli politik sering kali hanya menjadi modal untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya akan datang.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita juga perlu membina pemikiran yang lebih kritis dan tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu remeh yang sengaja diketengahkan demi meraih undi. Sebaliknya, nilai setiap pemimpin berdasarkan keupayaan mereka menangani masalah sebenar dan membawa perubahan kepada masyarakat. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini