JAKARTA: Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang tular di media sosial kerana menunggang kuda setiap hari ke sekolah bakal menerima bantuan biasiswa pendidikan daripada kerajaan wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT).
Gabenor NTT, Emanuel Melkiades Laka Lena mengumumkan pemberian biasiswa itu kepada Novita Goring atau mesra disapa Vita ketika menghadiri majlis perasmian Tour de EnTeTe di perkarangan Sekolah Dasar Wakamburu semalam.
Kehadiran pelajar Sekolah Menengah Atas (SMA) Katolik Santa Maria Homba Karipit itu bersama kuda kesayangannya pada majlis berkenaan disambut sorakan serta tepukan gemuruh daripada ribuan hadirin.
Dalam sesi interaksi ringkas di pentas, Emanuel memuji kegigihan Vita yang sanggup menempuh perjalanan ulang-alik sejauh 19 kilometer setiap hari demi menuntut ilmu, selain menyedari keluarga remaja itu turut menanggung tiga lagi adik-beradik yang masih bersekolah.
Menurut Emanuel, semangat kental yang ditunjukkan oleh remaja berasal dari Desa Wura Homba itu wajar diberi penghargaan sewajarnya oleh pihak pentadbiran wilayah bagi meringankan beban keluarganya.
Mengimbas rutin hariannya, Vita memaklumkan dia terpaksa bangun seawal pukul 5 pagi untuk bersiap dengan dibantu bapanya yang memasangkan pelana kuda, sebelum memulakan perjalanan sekitar pukul 6 pagi.
Keputusan menggunakan kuda sebagai pengangkutan utama dibuat berikutan harga bahan bakar petrol di kawasan pedalaman kampungnya yang melambung tinggi sehingga mencecah 70,000 rupiah (RM15.66) bagi setiap botol bersaiz 1.5 liter.
Kos pengangkutan yang membebankan itu tidak mampu ditanggung oleh keluarganya yang serba sederhana, sekali gus menjadikan kuda peliharaan sebagai pilihan paling praktikal untuk berulang-alik ke sekolah.
Walaupun terpaksa menempuh perjalanan sekitar satu jam setiap hari, Vita menegaskan dia tidak pernah lewat menghadiri sesi pembelajaran yang bermula pada pukul 7.15 pagi.
Remaja berkenaan turut mengakui pada awalnya berasa malu kerana menjadi satu-satunya pelajar yang menunggang kuda ke sekolah, namun sokongan berterusan daripada rakan-rakan berjaya mengembalikan keyakinan dirinya.
Vita bertekad memanfaatkan peluang pendidikan serta bantuan biasiswa berkenaan bagi mengubah nasib dan membahagiakan kedua-dua ibu bapanya, sambil menegaskan kekangan ekonomi bukan penghalang untuk mengejar cita-cita. -AGENSI








