Op Magpie: 112 sindiket penipuan tumpas, 932 individu ditahan - Utusan Malaysia

Op Magpie: 112 sindiket penipuan tumpas, 932 individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 112 sindiket penipuan tumpas selepas pusat panggilan bagi melakukan aktiviti itu diserbu menerusi Op Magpie 01/2026 yang dilancarkan serentak di seluruh negara dari 19 hingga 31 Oktober lalu.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 932 individu telah ditahan menerusi 153 serbuan dilaksanakan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan dilaksanakan adalah melebihi sasaran awal apabila 100 serbuan dilakukan dengan sebanyak 53 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, selain serbuan, sebanyak 650 pemeriksaan premis secara proaktif turut dijalankan sepanjang tempoh operasi berkenaan hasil tindakan bersepadu antara JSJK Bukit Aman dan kontinjen seluruh negara.

“Daripada 932 individu yang ditahan, 106 adalah warganegara Malaysia manakala 826 lagi warga asing dengan tangkapan membabitkan 796 lelaki dan 136 wanita.

“Mengikut pecahan kewarganegaraan, warga China mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi membabitkan 538 individu, diikuti Vietnam (93), Taiwan (40), Indonesia (36), Jepun (21), Pakistan (18), Myanmar dan Filipina masing-masing 14 orang,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Rusdi berkata, dari segi lokasi kegiatan jenayah penipuan itu dijalankan, sebanyak 106 serbuan atau 69.28 peratus dilakukan di residensi kondominium diikuti 34 di premis perumahan, lapan di resort atau hotel manakala lima lagi di bangunan pejabat, rumah kedai serta gudang.

“Analisis awal turut mengenal pasti 136 rekod modus operandi penipuan, dengan Pelaburan Tidak Wujud dan Love Scam masing-masing mencatatkan 27 rekod, diikuti Phone Scam (25), Judi Dalam Talian (16) serta Tawaran Kerja Tidak Wujud (11).

“Sindiket berkenaan turut dikesan menyasarkan mangsa merentasi sempadan negara apabila 130 daripada 144 rekod sasaran negara membabitkan mangsa di luar negara, manakala 14 lagi di Malaysia,” jelasnya.

Tambah beliau, China mencatatkan sasaran tertinggi dengan 62 rekod, diikuti Amerika Syarikat (12), Vietnam dan Indonesia masing-masing tujuh serta Jepun dan Hong Kong SAR masing-masing enam.

Dalam operasi itu, katanya, polis merampas 2,058 telefon bimbit, 433 komputer riba atau tablet, 161 komputer atau monitor, 112 router atau modem, 40 pasport atau visa dan tujuh kenderaan, selain pelbagai dokumen serta peralatan berkaitan. 

“‘Kita juga merampas wang tunai berjumlah RM102,635 turut dirampas,” ujarnya.

Beliau berkata, sebanyak 117 kertas siasatan dibuka hasil operasi berkenaan dengan 70 masih dalam siasatan manakala 45 sudah dibawa ke peringkat pertuduhan di mahkamah.

Katanya, kebanyakan tangkapan iaitu 809 individu, dikenal pasti berperanan sebagai khidmat pelanggan atau operator, manakala 70 lagi adalah penyelia atau ketua kumpulan.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti dalang utama, penyelaras operasi dan pihak yang menguruskan kewangan serta menyediakan kemudahan kepada sindiket, termasuk melalui analisis forensik digital, rekod komunikasi dan transaksi kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan, mesej atau tawaran pelaburan daripada individu tidak dikenali.

“Selain diingatkan agar tidak berkongsi maklumat perbankan, kata laluan, OTP atau TAC. 

“Orang ramai yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan membuat laporan polis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini