LONDON: Mauricio Pochettino semakin hampir kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dilaporkan mencapai persetujuan lisan untuk mengambil alih Manchester United sekiranya Michael Carrick dipecat.
Masa depan Carrick di Old Trafford semakin menjadi tanda tanya susulan prestasi hambar United yang kini berada dalam zon penyingkiran selepas gagal meraih kemenangan dalam lapan aksi liga.
Lebih membimbangkan, ia menjadi permulaan terburuk United dalam tempoh 40 tahun, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengendali berusia 45 tahun itu.
Carrick masih menjalankan tugas seperti biasa dan dilihat tiba di pusat latihan Carrington, namun kedudukannya dijangka diputuskan menerusi pertemuan pengurusan tertinggi kelab.
Pemegang saham berpengaruh United, Jim Ratcliffe dijangka mengadakan perbincangan bersama Ketua Eksekutif, Omar Berrada dan Pengarah Bola Sepak, Jason Wilcox di Monaco bagi menentukan hala tuju pasukan.
Berrada dan Wilcox pula dilaporkan lebih cenderung melakukan perubahan di kerusi pengurus selepas prestasi United gagal menunjukkan peningkatan konsisten.
Dalam perkembangan terbaharu, Sky Sports melaporkan Pochettino sudah mencapai persetujuan lisan secara prinsip dengan United, sekali gus meletakkannya sebagai calon utama untuk menggantikan Carrick.
Pengendali berusia 54 tahun itu bukan asing dengan EPL selepas pernah membimbing Southampton, Tottenham dan Chelsea sebelum mengambil alih skuad bola sepak kebangsaan Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, United perlu menyelesaikan isu kontrak Pochettino yang baru tiga bulan lalu melanjutkan tempoh khidmatnya bersama AS sehingga Piala Dunia 2030.
Perpindahan itu juga berpotensi memerlukan United membayar pampasan selepas pengendali dari Argentina berkenaan difahamkan mempunyai klausa pelepasan bernilai AS$10 juta (RM40 juta).
Selain Pochettino, bekas pengurus Newcastle Eddie Howe, bekas pengendali Chelsea, Antonio Conte dan bekas jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann turut disebut sebagai antara calon yang berpotensi mengisi kerusi panas di Old Trafford sekiranya United memilih untuk berpisah dengan Carrick.
United kini mempunyai tempoh rehat antarabangsa sebelum kembali beraksi menentang seteru utama, Liverpool di Anfield pada 23 November ini. – AGENSI











