CALIFORNIA: Pemain tenis No.4 dunia, Coco Gauff tidak berpuas hati dengan format yang digunakan sebaik sahaja dia tewas kepada Linda Noskova pada perlawanan kedua saingan Jelajah Akhir WTA.
Pada perlawanan yang berlangsung di Indian Wells kelmarin, Gauff terpaksa akur tewas mengejut 3-6, 3-6 kepada Noskova, sekali gus berisiko terlepas peluang melangkah ke separuh akhir edisi kali ini.
Pemain berusia 22 tahun itu menyifatkan format liga sepusingan yang digunakan sebagai bodoh kerana menyebabkan pemain berisiko tersingkir awal biarpun ada mencatat kemenangan pada kejohanan tersebut.
“Buat masa ini, saya hanya mahu memberikan sepenuh fokus kepada perlawanan akan datang. Bagi saya, situasi ini boleh dianggap masuk akal tetapi ianya agak bodoh untuk menggunakan peraturan sedemikian.
“Saya tahu ia seperti format yang melibatkan mata dan set, namun ianya sedikit rumit. Saya tidak kisah apa yang akan berlaku, misi saya adalah untuk mencatat kemenangan setiap kali masuk ke gelanggang,” katanya.
Sementara itu, Gauff turut menyuarakan harapan supaya format itu diubah pada saingan musim hadapan bagi memastikan persaingan yang lebih terbuka selain menjadikan perlawanan bertambah menarik.
“Sekarang saya hanya mahu menunggu untuk saingan musim hadapan. Saya tidak boleh bercakap banyak tetapi semua orang tahu bahawa format seperti ini perlu diubah dan kembali seperti biasa,” ujarnya.
Sementara itu, Elina Svitolina menghidupkan peluang mara ke separuh akhir selepas bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Karolina Muchova 3-6, 6-2, 6-2, semalam
Kemenangan itu cukup bermakna buat pemain veteran Ukraine berkenaan yang kembali beraksi dalam kejohanan penutup musim elit itu buat kali pertama sejak 2019.
Svitolina, yang pernah menjulang trofi WTA Finals pada 2018, bermula dengan langkah kurang meyakinkan apabila tiga kali kehilangan servis dalam set pertama kepada Muchova.
Bagaimanapun, pemain itu mula menemui rentak pada set kedua ketika ketinggalan 1-2 sebelum memenangi lima permainan berturut-turut untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.- AGENSI











