Yamal sempat pulih hadapi England

Yamal sempat pulih hadapi England

Lamine Yamal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRAGUE: Bintang sensasi Sepanyol, Lamine Yamal dijangka sempat pulih untuk berdepan England dalam aksi Liga Negara-Negara pada Isnin ini.

Pengendali Sepanyol, Luis De La Fuente berkata, bintang Barcelona itu terpaksa diketepikan ketika menentang Republik Czech kerana mengalami kecederaan lutut.

Yamal berdepan kecederaan ketika membantu kelabnya menewaskan Atletico Madrid 2-1 dalam saingan La Liga, Isnin lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemeriksaan imbasan mendapati pemain berusia 19 tahun itu mengalami keradangan serta pengumpulan cecair pada lututnya sehingga memaksa De la Fuente mengambil keputusan tidak membawanya bersama pasukan ke Republik Czech.

“Dia mengalami kecederaan pada perlawanan terakhir dan berasa tidak selesa pada salah satu lututnya.

“Pemeriksaan imbasan di Barcelona mendapati terdapat keradangan serta pengumpulan cecair dalam lututnya, keadaan itu menyebabkan dia perlu berehat.

“Pasukan perubatan kami dan pasukan perubatannya mempunyai hubungan yang sangat baik. Saya memutuskan dia tidak perlu datang ke sini tanpa mengetahui sama ada berada dalam keadaan yang membolehkannya bermain,” kata De La Fuente kepada pemberita.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 65 tahun itu percaya proses pemulihan Yamal berada di landasan tepat dan pemain berkenaan dijangka menyertai kem Sepanyol pada Jumaat.

Katanya, beliau sudah bercakap dengan Yamal dan perkembangan terkini pemain sayap itu memberi petanda positif menjelang pertemuan dengan England di Madrid.

“Dia sedang menjalani beberapa siri latihan bersama ahli fisioterapi dan kelabnya yang menunjukkan proses pemulihan berjalan dengan baik. Kami percaya dan saya optimis bahawa dia akan bersama kami pada Jumaat,” katanya.

Dalam pada itu, De La Fuente menepis dakwaan Yamal menerima layanan istimewa selepas dibenarkan menyertai kem latihan Sepanyol lewat berbanding rakan sepasukannya.

Katanya, keputusan berkenaan dibuat atas faktor perubatan dan pendekatan sama akan diberikan kepada mana-mana pemain sekiranya berdepan situasi serupa.

“Dia tidak mempunyai sebarang keistimewaan dan rakan sepasukannya juga tidak mempersoalkan perkara itu kerana kami melayan semua pemain dengan cara yang sama.

“Dalam situasi yang sama, kami akan melakukan perkara serupa kepada mana-mana pemain lain dan semua pemain memahami perkara itu,” katanya.

Sepanyol sudah mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Negara-Negara selepas memenangi kesemua empat perlawanan setakat ini dalam Kumpulan A3.

Skuad kendalian De La Fuente juga tidak tewas dalam 43 perlawanan kompetitif terakhir dan pengendali itu melihat rekod berkenaan sebagai motivasi tambahan untuk La Roja terus memburu pencapaian baharu.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini