PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan rayuan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 10 syarikat lain untuk menggunakan afidavit tambahan milik seorang wanita warga Singapura dalam prosiding injunksi Mareva terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab selepas membenarkan rayuan 1MDB dan 10 syarikat terbabit selaku perayu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
Perintah Mareva ialah perintah mahkamah yang pada dasarnya membekukan aset defendan untuk menghalang sebarang pemindahan aset yang plaintif ingin dapatkan semula, sehingga pelupusan atau penentuan saman utama.
Turut bersidang bersama-sama ialah Hakim Datuk Ismail Brahim dan Datuk Leonard David Shim.
Ketika membacakan penghakiman, Hakim Leonard berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mendapati keadaan luar biasa diperlukan sebelum syarikat-syarikat itu boleh dibenarkan untuk mengemukakan afidavit tersebut.
Katanya, tiada peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah yang menghendaki pemohon membuktikan keadaan luar biasa apabila memohon lanjutan masa.
”Mahkamah juga mendapati syarikat-syarikat itu telah memfailkan permohonan mereka pada 20 Jun tahun lalu, sebelum hujahan bertulis dalam prosiding injunksi selesai pada 18 Julai. Kelewatan kira-kira dua bulan setengah dalam menyediakan afidavit itu telah dijelaskan dengan memuaskan.
”Shabnam (warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani) yang pada mulanya dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman itu, hanya bersetuju memberikan keterangannya selepas syarikat-syarikat berkenaan menghentikan tuntutan terhadapnya melalui perintah persetujuan pada 9 April tahun lalu.
”Afidavitnya, yang merangkumi 319 muka surat dalam sembilan jilid, mengandungi invois, surat-menyurat dengan vendor barangan mewah, gambar-gambar serta komunikasi melibatkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dan Eric Tan.
“Dokumen-dokumen itu juga merangkumi butiran pembayaran bagi barangan mewah melalui entiti luar pesisir yang didakwa menggunakan dana yang diselewengkan daripada 1MDB,” katanya.
Tambah hakim itu, keterangan tersebut relevan untuk mencabar pembelaan Rosmah yang mendakwa barangan mewah berkenaan merupakan hadiah daripada pihak ketiga.
Katanya, penerimaan dokumen itu juga tidak memprejudiskan isteri bekas Perdana Menteri itu kerana masa mencukupi akan diberikan untuk menjawabnya.
Dalam prosiding hari ini, perayu diwakili peguam Datuk Lim Chee Wee, Nathalie Ker dan Henna Sangvhi manakala Rosmah diwakili peguam Datuk Rajan Navaratnam dan Sheena Sebastian.
1MDB sebelum ini memohon mahkamah menerima afidavit Shabnam sebagai sokongan kepada permohonan membekukan aset milik Rosmah melalui injunksi Mareva.
Saman yang difailkan pada 9 Mei 2024 itu melibatkan 1MDB dan lima anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited serta SRC International Sdn Bhd.
Permohonan injunksi Mareva itu dimohon berkait dengan kes saman 1MDB, anak-anak syarikat itu dan entiti pesisir luar terhadap Rosmah berhubung pembelian barangan mewah antaranya barang kemas dan beg tangan berjumlah AS$346 juta yang dikatakan dibeli menggunakan wang diseleweng daripada syarikat berkenaan.
Saman tersebut pada asalnya difailkan terhadap Rosmah sebagai defendan pertama dan warga Singapura, Shabnam sebagai defendan kedua. Namun, pada April 2025 plaintif telah menarik balik saman terhadap Shabnam.
Laporan media sebelum ini menyatakan Shabnam merupakan seorang pereka fesyen dan sering membantu Rosmah dalam mendapatkan barang kemas dan fesyen berkualiti tinggi.
Menurut writ yang difailkan, kesemua plaintif mendakwa kesemua barangan mewah tersebut telah diperoleh Rosmah bukan dengan menggunakan wangnya sendiri tetapi dengan menggunakan dana yang diseleweng daripada 1MDB dan anak-anak syarikatnya.
Oleh itu, 1MDB dan anak-anak syarikatnya memohon agar Rosmah membayar AS$346,010,489 atau satu jumlah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN











