PUCHONG: Penyanyi, Sarah Suhairi berpandangan, kaum wanita perlu lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup dengan mengenali latar belakang dan personaliti bakal suami sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Sarah, 26, berkata, langkah itu penting bagi memastikan seseorang wanita benar-benar memahami keperibadian bakal pasangan, sekali gus mengelakkan mereka daripada membuat keputusan terburu-buru dalam soal perkahwinan.
Menurutnya, mengenali sejarah silam pasangan bukan bertujuan menghakimi, sebaliknya memahami pengalaman yang membentuk peribadi seseorang sehingga menjadi dirinya hari ini.
“Ketika ini, ramai membincangkan isu pasangan yang mempunyai gangguan personaliti narsistik di media sosial.
“Bagaimanapun, bagi saya, bukan mudah untuk menentukan sama ada seseorang itu mempunyai personaliti narsistik atau sebaliknya kerana saya tidak mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.
“Mungkin kita boleh mendapatkan pandangan pakar atau kaunselor mengenai ciri-ciri individu narsistik yang perlu dielakkan,” katanya.
Sarah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra-dengar pelancaran EP Selesai, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Nyawa & Raga itu berkata, dia memahami kebimbangan wanita dalam memilih pasangan hidup, terutama apabila memikirkan kemungkinan berdepan konflik rumah tangga pada masa hadapan.
Katanya, wanita perlu memastikan diri benar-benar selesa dan berasa selamat dalam sesebuah perhubungan sebelum membuat keputusan untuk melangkah ke alam perkahwinan.
“Kalau rasa semuanya sudah okey, barulah teruskan hubungan ke fasa seterusnya. Saya faham ketakutan itu wujud dalam kalangan wanita, terutama apabila membabitkan isu perceraian kerana hak melafazkan talak terletak pada pihak lelaki.
“Walaupun wanita boleh memohon perceraian, prosesnya mungkin menjadi sangat panjang,” katanya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai rumah tangganya bersama suami, Aswad Anuar, yang berstatus duda anak tiga, Sarah bersyukur kerana hubungan mereka setakat ini berada dalam keadaan baik.











