GEORGE TOWN: Tiada keperluan untuk Parlimen dibubarkan ketika ini memandangkan kedudukan politik negara masih stabil dan kerajaan mempunyai sokongan majoriti yang kukuh.
Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, pihaknya akan akur dengan sebarang keputusan yang dibuat Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu.
Menurutnya, keadaan politik semasa masih stabil dengan kerajaan mempunyai sokongan lebih daripada majoriti mudah di Parlimen.
“Setakat ini, kita melihat keadaan itu tidak ada keperluan kerana politik dalam keadaan sekarang masih stabil dan utuh. Kerajaan mempunyai lebih daripada majoriti mudah,” katanya selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan Idrissi International School, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan berkaitan cadangan rombakan Kabinet susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berpandangan tiada keperluan untuk berbuat demikian, sebaliknya mencadangkan Parlimen dibubarkan bagi mendapatkan mandat baharu rakyat.
Mohamad berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik terus terpelihara selain memberi tumpuan kepada pembangunan negeri dan negara khususnya dari sudut ekonomi.
Mengulas kerjasama politik di Pulau Pinang, Mohamad berkata, kedudukan kerajaan negeri akan terus dikekalkan seperti sedia ada sehingga keputusan baharu dibuat kepimpinan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, kerjasama antara PH dan UMNO di negeri ini masih stabil dan tiada isu berkaitan kestabilan politik memandangkan gabungan PH mempunyai kekuatan mencukupi.
“Pulau Pinang berbeza dengan negeri lain kerana kita mempunyai 27 kerusi PH, jadi tidak ada isu dari segi kestabilan politik dan status quo masih dikekalkan sehingga keputusan dibuat oleh pimpinan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat PH Pulau Pinang yang dijadual berlangsung pada 28 November ini mungkin turut menyentuh perkara berkenaan sekiranya ia dimasukkan dalam agenda perbincangan. – UTUSAN











