Lebih 500 papan iklan kerajaan didakwa jadi bahan kempen BN - Utusan Malaysia

Lebih 500 papan iklan kerajaan didakwa jadi bahan kempen BN

KHOO Poay Tiong menunjukkan papan iklan milik kerajaan negeri yang didakwa disalah guna oleh BN semasa sidang akhbar harian di Kompleks Perniagaan Musai Jaya, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lebih 500 papan iklan milik agensi kerajaan negeri didakwa ditukar menjadi bahan kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, papan iklan terlibat sebelum ini digunakan untuk memaparkan bahan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, tetapi ditukar kepada bahan kempen BN selepas hari penamaan calon.

Menurutnya, tindakan menggunakan aset kerajaan untuk tujuan kempen sepatutnya mendapat perhatian serius Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini semua papan iklan milik agensi kerajaan. Sebelum ini, gambar yang dipaparkan adalah berkaitan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Namun, sebaik sahaja selepas penamaan calon, papan iklan berkenaan ditukar kepada gambar atau bahan kempen parti itu.

“Yang saya faham, lebih daripada 500 papan iklan sedemikian milik agensi kerajaan sekarang sudah menjadi bahan kempen BN,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini, hari ini.

Poay Tiong menggesa SPR mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan aset kerajaan untuk tujuan kempen pilihan raya.

Beliau turut mencadangkan supaya calon yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

“Saya harap SPR mengambil tindakan tegas kerana mengikut Akta Pilihan Raya, memang tidak dibenarkan menggunakan aset kerajaan untuk berkempen.

“Jadi, saya mahu mencadangkan kepada semua calon supaya membuat laporan polis agar kita boleh mengambil tindakan seterusnya,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini