LONDON: Kumpulan Lego bertindak menghentikan sementara pengoperasian pasaran dalam talian miliknya, BrickLink selepas mengesan aktiviti tidak berstruktur serta mencurigakan pada platform perdagangan mainan berkenaan.
BrickLink merupakan platform popular yang dimanfaatkan oleh pengumpul Lego di seluruh dunia bagi urusan jual beli set terpakai, pencarian bongkahan bata baharu serta pembelian edisi terhad.
Platform yang diasaskan oleh peminat tegar itu dibeli secara rasmi oleh Kumpulan Lego pada tahun 2019 demi memperluas ekosistem perkhidmatan peminat jenama berkenaan.
Menerusi satu kenyataan di halaman utamanya, Lego memaklumkan syarikat mahu memahami situasi yang berlaku secara mendalam sebelum memulihkan semula operasi BrickLink demi keselamatan pengguna.
Syarikat terbabit mengesahkan langkah awal penutupan itu bertujuan menyekat isu berkenaan daripada merebak, menyiasat punca kejadian serta memastikan tiada sebarang implikasi keselamatan berkaitan.
Bagaimanapun, pihak Lego tidak memperincikan sama ada platform berkenaan telah diceroboh penggodam mahupun mengesahkan tahap kebocoran data peribadi pelanggan yang mungkin terjejas.
Penutupan operasi terbaharu itu menyaksikan BrickLink berada di luar talian selama tiga hari, berbeza dengan makluman awal syarikat yang menyatakan ia sekadar penyelenggaraan rutin.
Dalam pada itu, insiden berkenaan turut dikaitkan dengan ralat pembayaran edisi terhad yang dilaporkan oleh beberapa pengguna tegar platform berkenaan baru-baru ini.
Pakar keselamatan siber yang juga pengumpul Lego, Melanie Hoskin mendakwa menerima pautan pembayaran berulang kali bagi pesanan edisi terhad yang telah pun dijelaskan pembayaran sebelum ini.
Kelemahan teknikal terbabit dikhuatiri mencetuskan kekeliruan dalam kalangan komuniti pengumpul, meskipun Lego mengesahkan isu pembayaran berkaitan telah pun diselesaikan secara berperingkat.
Pihak pengurusan BrickLink sebelum ini memaparkan makluman platform itu akan kembali beroperasi pada Rabu malam, namun notis berkenaan telah dipadamkan tanpa sebarang ketetapan tarikh baharu. -AGENSI











