PETALING JAYA: Pelakon, Janna Nick meluahkan rasa putus asa untuk mencuba mendapatkan zuriat (TTC) susulan perubahan fizikalnya kerap menjadi bahan kritikan sejak kebelakangan ini.
Menurut Janna, dia sudah muak menjadi mangsa ‘bodyshaming’ meskipun sudah memaklumkan perubahan fizikalnya berlaku kerana kesan daripada perubahan hormon yang dialaminya sepanjang dalam fasa perjuangan ‘garis dua’.
“Mulai hari ini, saat ini, saya sudah putus asa untuk terus mencuba mendapatkan zuriat. Saya secara rasmi menamatkan perjalanan TTC saya dan akan memulakan misi untuk kurus,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Perkongsian itu dimuat naik oleh Janna selepas terkesan apabila bentuk badannya kerap menjadi bahan kutukan sebuah portal, malah turut mempersoalkan penerimaan suaminya, Dini Schatzmann.
Menurut Janna, dia bersyukur suaminya masih menerima perubahan fizikal yang dilaluinya memandangkan masing-masing dalam usaha yang sama untuk menimang cahaya mata selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.
“Kalau saya gemuk dan tembam sekalipun, awak ke yang kena peluk dan cium saya? Suami saya elok sahaja puji, awak pula mahu lebih-lebih kenapa?
“Boleh tak berhenti komen tentang bentuk fizikal saya? Berapa kali nak cakap? Saya sedang mengambil hormon dan menjalani usaha untuk hamil (TTC)!
”Jangan ganggu saya, sama ada saya tembam, gemuk atau buruk sekalipun!” ujarnya.
Janna dan Dini mendirikan rumah tangga pada 10 Jun 2023, namun masih belum dikurniakan cahaya mata.
Sepanjang tiga tahun perkahwinan, Janna secara terbuka berkongsi usahanya untuk mendapatkan zuriat, termasuk menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) yang tidak berhasil.
Pelakon itu juga pernah mendedahkan dirinya menjalani rawatan kesuburan dan mengambil ubat hormon yang menyebabkan perubahan pada bentuk badan serta berat badannya.
Malah, Janna turut memperlahankan kerjaya seni bagi memberikan tumpuan kepada usaha mendapatkan cahaya mata bersama suami.











