Lelaki warga asing tetak tangan anggota polis maut ditembak - Utusan Malaysia

Lelaki warga asing tetak tangan anggota polis maut ditembak

KEADAAN seorang anggota polis yang cedera selepas ditetak seorang warga asing di Kepong, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Lelaki warga asing yang menetak pergelangan tangan kanan anggota polis hingga putus di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong di sini semalam meninggal dunia selepas ditembak polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek ditembak selepas sekali lagi menyerang anggota menggunakan sebilah parang ketika dikesan berhampiran sebuah taman permainan, tidak jauh dari pangsapuri berkenaan, antara pukul 7.30 hingga 8 malam.

“Dalam usaha mempertahankan diri dan membuat tahanan, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun tembakan tersebut hanya mencederakan suspek dan suspek dibawa ke hospital untuk rawatan di hospital,” katanya kepada pemberita di Hospital Selayang semalam.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Selayang.

Sementara itu, katanya, anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun yang putus pergelangan tangan kanannya kini stabil dan sedang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mengulas berhubung kejadian, beliau berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira 4 petang berhubung seorang lelaki dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan dipercayai mengamuk di pangsapuri terbabit.

Katanya, sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas KKM kemudian bergegas ke lokasi bagi memeriksa keadaan

“Sekitar 7 malam, semasa dalam proses untuk melaksanakan tindakan ke atas maklumat itu, apabila premis kediaman dibuka, satu individu daripada dalam rumah meluru keluar dengan bersenjatakan dua bilah parang.

“Dia menyerang pihak polis bersama pihak bomba dan KKM yang sedang berada di hadapan pintu,” katanya.

Beliau berkata, seorang anggota polis mengalami kecederaan sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya putus ketika cuba mempertahankan diri daripada serangan itu.

“Anggota lain kemudian berundur untuk menyelamatkan diri, manakala suspek melarikan diri ke tingkat bawah sebelum dikesan polis berhampiran sebuah taman permainan,” katanya.

Shazeli berkata, semakan awal mendapati suspek dipercayai warga asing namun identiti dan butiran dirinya masih dalam proses pengesahan.

Katanya, siasatan turut dijalankan di kediaman suspek serta lokasi kejadian tembakan bagi mendapatkan gambaran lengkap mengenai insiden berkenaan.

Beliau berkata, jumlah tembakan mengenai suspek dan kecederaan dialaminya belum dapat dipastikan sementara menunggu keputusan bedah siasat.

“Setakat ini, kita percaya hanya seorang suspek terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Bedah siasat ke atas mayat suspek akan dijalankan di Hospital Selayang,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini