SEREMBAN: Kesemua 10 Taman Eko Rimba dan 14 trek pendakian di Negeri Sembilan akan ditutup sementara kepada orang ramai bermula 14 Disember ini hingga 17 Januari depan sebagai langkah keselamatan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Ts. Mohd. Yussainy Md Yusop berkata, penutupan itu atas faktor keselamatan pengunjung sepanjang MTL.
Menurutnya, penutupan tersebut membabitkan aktiviti perkhemahan dan pendakian di semua kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun, aktiviti perkelahan masih dibenarkan dengan pemantauan petugas Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan. Jika hujan, petugas lapangan akan mengosongkan kolam dan kawasan perkelahan sebagai langkah keselamatan.
“Buat masa ini, kami masih kekalkan keputusan pada tarikh berkenaan. Namun, jika ada keperluan (penutupan diawalkan), saya akan buat keputusan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mohd. Yussainy berkata, pihaknya akan menutup kawasan kolam mandi sekiranya paras air sungai meningkat susulan hujan pada malam sebelumnya atau pagi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Sekiranya pengunjung telah merancang untuk menjalankan aktiviti riadah di Taman Eko Rimba atau trek pendakian dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan dari semasa ke semasa petugas Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN











