Richard Chin perlu buktikan kemampuan 

Richard Chin perlu buktikan kemampuan 

RICHARD Chin (kiri) bakal mengetuai jentera serangan Harimau Malaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peluang beraksi bersama skuad kebangsaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Richard Chin untuk membuktikan ketajaman penyudahnya.

Penyerang Ross County di liga Scotland itu tidak seharusnya hanya bergantung kepada reputasi atau nama, sebaliknya perlu membuktikan kualiti menerusi aksi di atas padang.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, Chin perlu memperlihatkan komitmen dan sumbangan yang mampu diberikan kepada skuad kebangsaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Richard Chin perlu menunjukkan bagaimana dia mampu membantu pasukan. Itu antara pilihan yang ada, tetapi jangan hanya gah pada nama. Dia perlu membuktikan sesuatu melalui komitmen dan persembahan di atas padang.

“Kita agak kecewa apabila ramai pemain terbaik tidak dapat menyertai pasukan. Kita terpaksa bergantung kepada pemain pilihan kedua yang dapat dipanggil. Oleh itu, kekuatan dan kelebihan kita perlu dibina berdasarkan apa yang kita ada,” katanya.

Berdasarkan skuad yang dipanggil kali ini, Chin berpeluang untuk menjadi peledak Harimau Malaya selepas beraksi cemerlang bersama kelab di Scotland, Ross County musim ini.

Menurut Zulakbal, barisan kejurulatihan juga perlu mengambil kesempatan itu untuk menguji pendekatan taktikal berbeza, khususnya dalam aspek serangan pantas dan peralihan permainan atau transisi.

Katanya, bola sepak moden bukan sekadar bergantung kepada keupayaan menyerang, sebaliknya pasukan perlu mempunyai keupayaan melakukan transisi dengan berkesan bagi menyesuaikan diri mengikut situasi perlawanan.

Jelasnya, peluang berkenaan amat penting kerana tidak semua pemain yang berada dalam skuad ketika ini dijangka mendapat tempat apabila Malaysia menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia kelak.

“Pada saya, kita kena mengambil kesempatan ini untuk menguji pemain baharu. Barisan kejurulatihan perlu menerapkan apa yang mereka mahukan dalam permainan supaya pemain dapat memahami sistem dan pendekatan taktikal pasukan,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran menentang China, beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai pendedahan berguna kepada pemain untuk belajar menyerap tekanan ketika berhadapan pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi.

Menurutnya, pemain perlu meningkatkan keupayaan mengendalikan tekanan selain memperkemaskan organisasi permainan, terutama apabila berdepan lawan yang mempunyai kekuatan dari segi serangan.

Dalam pada itu, Zulakbal berpandangan Yaman bakal menghadirkan cabaran berbeza kerana memiliki corak permainan lebih kreatif dan fizikal berbanding kebanyakan pasukan yang sering ditemui Malaysia di rantau Asia Tenggara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini