Memperkenalkan masakan Malaysia di negara orang bukan sekadar soal kemahiran memasak, sebaliknya turut menguji kreativiti apabila bahan utama sukar diperoleh.
Itulah cabaran yang perlu ditempuh Cef Mohd. Shuhada Omar ketika membawa rendang daging dan sate Malaysia ke tujuh universiti di Amerika Syarikat (AS) menerusi program Global Chef selama 28 hari.
Berlangsung pada bulan Ramadan, tugasan itu menyaksikan beliau berdepan kesukaran mendapatkan bahan seperti daun pandan, daun kunyit dan lengkuas yang tidak tersedia di sesetengah lokasi.
Walaupun senarai menu sudah dihantar lebih awal kepada penganjur, beliau tetap perlu mencari alternatif termasuk mendapatkan bantuan untuk ke pasar Asia bagi mendapatkan bahan masakan yang diperlukan.
“Tetapi, segala usaha itu berbaloi apabila hidangan Malaysia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar serta kakitangan antarabangsa.
“Malah, ada dalam kalangan mereka yang meminta resipi rendang dan kuah kacang selepas tertarik dengan keharuman rempah-ratus serta keunikan rasa hidangan berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi Mohd. Shuhada, pengalaman itu cukup bermakna kerana bukan sahaja berpeluang memperkenalkan masakan tempatan, malah berkongsi cerita mengenai budaya dan keistimewaan makanan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
Permulaan tidak disangka
Berasal dari Kuantan, Pahang, perjalanan Shuhada dalam bidang kulinari sebenarnya bermula tanpa pendidikan formal dalam bidang masakan.
Beliau mula bekerja secara sambilan di Hotel Hyatt Kuantan ketika masih bersekolah sebelum ditawarkan jawatan tetap sebagai pembantu cef selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menariknya, latar belakang pendidikannya dalam bidang seni reka, sekali gus menjadikan pengalaman bekerja di dapur sebagai medan utama untuk mempelajari kemahiran memasak.
Bermula dengan teknik memotong sayur, mengendalikan bahan mentah hinggalah menguruskan bahagian pemotongan daging, setiap tugasan dilakukan bagi membina asas kemahiran dalam bidang berkenaan.
Selepas beberapa tahun mengumpul pengalaman di hotel, beliau mengambil keputusan mengembangkan kerjaya bersama Sodexo dalam sektor luar pesisir, khususnya industri minyak dan gas.
Hampir empat tahun berkhidmat di sekitar Terengganu dan Kelantan membuka peluang kerjayanya menyertai pasukan global syarikat berkenaan.
Timba ilmu di tujuh negara
Peluang itu membuka ruang kepada Shuhada untuk mengembangkan pengalaman kulinari di beberapa negara termasuk Singapura, Indonesia, China, Sri Lanka, India dan Belanda.
Menurutnya, setiap negara mempunyai pendekatan tersendiri dalam penyediaan makanan, sekali gus menuntut seseorang cef menyesuaikan diri dengan bahan masakan, budaya kerja dan cita rasa pelanggan tempatan.
Sebagai contoh, ketika berada di India, beliau mendapati bahan tumisan lazimnya dicincang halus berbanding amalan di Malaysia yang lebih banyak menggunakan bahan kisar sebelum memasak.
Pengalaman selama tiga bulan di Amsterdam, Belanda, turut menjadi antara tugasan penting apabila beliau perlu mengendalikan operasi makanan di tujuh kampus atau premis yang mempunyai kapasiti antara 4,000 hingga 10,000 pelanggan setiap satu.
Tanggungjawab itu bukan sekadar memastikan penyediaan makanan harian untuk pelajar dan kakitangan berjalan lancar, malah merangkumi pengurusan beberapa kafeteria secara serentak serta penyediaan hidangan mewah untuk tetamu kenamaan.
Selain pengalaman memperkenalkan masakan Malaysia, satu pertemuan di Seattle, AS turut meninggalkan kesan mendalam kepada Shuhada.
Beliau bertemu seorang pensyarah wanita berbangsa Cina berasal dari Perlis yang sudah menetap di negara itu hampir 30 tahun.
Pertemuan berkenaan mengajarnya makanan bukan sekadar hidangan untuk dinikmati, sebaliknya mampu menjadi penghubung kepada asal-usul, budaya dan kenangan seseorang terhadap tanah air.
Bagaimanapun, beliau mengakui perjalanan dalam industri kulinari tidak sentiasa mudah kerana seseorang cef perlu bersedia menerima pelbagai kritikan daripada pelanggan mahupun pihak pengurusan.
“Dalam bidang kulinari, kita tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang. Kritikan itu pasti ada, sama ada daripada klien atau pelanggan,” katanya.
Berkongsi rahsia mampu bertahan selama 25 tahun dalam industri berkenaan, Mohd. Shuhada meletakkan disiplin, komitmen, keikhlasan dan perancangan sebagai asas penting untuk terus berkembang.
Menurutnya, bidang kulinari bukan sahaja memerlukan kemahiran memasak, malah menuntut ketahanan fizikal dan mental serta kesediaan untuk terus belajar.
Setiap kritikan perlu diterima secara terbuka dan dijadikan ruang memperbaiki mutu masakan serta meningkatkan kemahiran diri.
“Jika kita melihatnya secara positif sebagai ruang pembelajaran, kerjaya kita akan terus berkembang.
“Fikiran kena sentiasa positif dan tenang,” katanya.-UTUSAN











