KUALA LUMPUR: Keunikan seni tari etnik Sabah dan Sarawak terus diangkat menerusi penganjuran Tarian Etnik Borneo 2026 yang melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama tiga hari di Pusat Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, pada 1 November lalu.
Program anjuran Pertubuhan Peragaan Seni Native Borneo Sabah (PPSNBS) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu bukan sahaja menjadi medan mengetengahkan kreativiti seni persembahan, malah berperanan memastikan warisan budaya masyarakat Borneo terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda.
Berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November di Koisaan Cultural Village dan Dewan Hongkod Koisan, program berkenaan menghimpunkan penggiat seni, peserta muda serta komuniti kebudayaan menerusi pertandingan tarian etnik yang menggabungkan elemen tradisional dan kreativiti koreografi.
Pertandingan yang berlangsung dalam beberapa peringkat itu bermula dengan saingan separuh akhir pada 30 Oktober, diikuti majlis perasmian pada 31 Oktober sebelum menyaksikan pertandingan akhir serta persembahan khas sempena penutupan program pada 1 November.
Menariknya, setiap persembahan bukan sekadar menonjolkan keindahan gerak tari, tetapi turut membawa identiti, sejarah dan nilai budaya masyarakat etnik yang diwarisi sejak turun-temurun.
Pengerusi PPSNBS, Mohd Fazil Ajak berkata, usaha memartabatkan seni tari etnik memerlukan komitmen berterusan semua pihak, khususnya penggiat seni dan generasi muda, bagi memastikan warisan berkenaan tidak hilang ditelan zaman.
Beliau berkata, setiap tarian etnik mempunyai kisah dan sejarah tersendiri yang perlu difahami, bukan sekadar dipersembahkan sebagai hiburan kepada penonton.
“Melalui penganjuran Tarian Etnik Borneo 2026, kami mahu memastikan warisan ini bukan sekadar dipersembahkan untuk tontonan, tetapi terus difahami, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Kami percaya kreativiti dan tradisi boleh berkembang seiring. Apa yang penting, nilai serta keaslian budaya terus dipelihara supaya seni tari etnik Borneo kekal menjadi kebanggaan masyarakat Sabah, Sarawak dan Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Menurutnya, penganjuran program itu juga memberi ruang kepada bakat baharu untuk mengembangkan potensi dalam seni persembahan, selain menggalakkan penghasilan karya kreatif yang masih berpaksikan adat, budaya dan identiti masyarakat tempatan.
Dalam masa sama, program berkenaan menjadi platform menyemai semangat perpaduan menerusi penghayatan kepelbagaian budaya masyarakat Sabah dan Sarawak yang menjadi sebahagian daripada kekuatan identiti negara.
Kepelbagaian warisan yang diketengahkan melalui seni tari membuktikan perbezaan adat dan budaya bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi asas untuk masyarakat saling mengenali, menghormati dan menghargai antara satu sama lain.
PPSNBS turut melihat penganjuran program itu sebagai langkah memperluas pengiktirafan seni tari etnik Borneo ke peringkat lebih tinggi, termasuk menerusi pembangunan bakat tempatan, pengukuhan jaringan kebudayaan dan peluang kerjasama antarabangsa.
Dengan keunikan seni dan tradisi yang dimiliki Sabah serta Sarawak, warisan budaya Borneo juga berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan budaya yang mampu menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa.
Sehubungan itu, PPSNBS merakamkan penghargaan kepada MOTAC atas sokongan diberikan, selain semua peserta, penggiat seni, rakan kerjasama, petugas dan masyarakat yang menjayakan program berkenaan.
Penganjur berharap Tarian Etnik Borneo dapat diteruskan sebagai platform pembangunan bakat seni, pemeliharaan warisan budaya dan pengukuhan perpaduan, sekali gus memastikan khazanah seni masyarakat Sabah dan Sarawak terus mendapat tempat di peringkat nasional serta antarabangsa.











