PETALING JAYA: Syarikat peruncit fesyen tempatan, Panda Eyes Group Berhad (Panda Eyes) menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang Januari 2027 menerusi tawaran awam permulaan (IPO) yang dijangka memperkukuh rancangan pengembangan rangkaian perniagaannya.
Cadangan IPO itu melibatkan terbitan 325 juta saham baharu, bersamaan 20 peratus daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan, selain tawaran untuk jualan sebanyak 162.5 juta saham sedia ada atau 10 peratus daripada modal saham berkenaan.
Pengarah Urusan Panda Eyes, Wang LiangLong berkata, cadangan penyenaraian tersebut merupakan pencapaian penting dalam perjalanan syarikat sejak ditubuhkan pada 2016 untuk bergelar syarikat awam tersenarai.
“Terbitan IPO ini akan membantu memacu pelan perluasan kami. Kumpulan berhasrat menggunakan sebahagian besar hasil IPO untuk membuka sehingga 15 cawangan peruncitan baharu di seluruh negara, menaik taraf cawangan sedia ada serta meningkatkan modal kerja.
“Di samping itu, kami sedang menggunakan dana dalaman untuk memperkukuh aktiviti penstriman langsung 18 jam sehari dengan menambah dua lagi studio penstriman berbanding lima studio sedia ada, selain mengambil lebih ramai bakat penstriman,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi terbitan awam berkenaan, sebanyak 81.25 juta saham disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui undian, manakala 40.625 juta saham diuntukkan kepada pengarah, pekerja serta individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan di bawah Peruntukan Borang Merah Jambu.
M & A Securities akan menaja jamin sejumlah 121.875 juta saham baharu merangkumi peruntukan bagi orang ramai Malaysia dan Borang Merah Jambu, manakala baki 203.125 juta saham terbitan akan diuntukkan menerusi penempatan khas kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Kumpulan yang mengendalikan rangkaian 33 cawangan fizikal di Semenanjung Malaysia serta saluran dalam talian seperti TikTok Shop dan Shopee itu merekodkan pendapatan RM194.9 juta dan keuntungan bersih (PAT) RM22.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
Sementara itu, Pengarah Urusan M & A Equity Holdings Berhad, Datuk Bill Tan Choon Peow berkata, Panda Eyes berjaya mengukuhkan kedudukan dalam segmen fesyen berjenama mampu milik, dengan perniagaan dalam talian menyumbang 58.5 peratus kepada jumlah pendapatan syarikat pada 2025.
“Kami percaya kombinasi ini menawarkan peluang kepada para pelabur untuk terlibat dalam segmen fesyen mampu milik di Malaysia, melalui sebuah peruncit yang mempunyai kehadiran kukuh, baik menerusi kedai fizikal mahupun platform dalam talian,” katanya.
M & A Securities bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi terbitan IPO berkenaan.-UTUSAN











