JEREBU melanda negara baru-baru ini sudah reda. Namun, sebelum kita menarik nafas lega, negara kini berhadapan pula dengan Monsun Timur Laut (MTL), yang lazimnya membawa hujan lebat berterusan dan episod banjir di beberapa kawasan.
Kedua-dua fenomena ini bukan perkara baharu. Ia merupakan cabaran yang berulang dan sepatutnya sudah menjadi sebahagian daripada perancangan kesiapsiagaan negara.
Persoalannya, adakah kita sekadar bersedia menghadapi bencana atau sebenarnya sedang membina bandar dan persekitaran yang lebih berdaya tahan terhadap bencana?
Usaha kerajaan dalam menghadapi musim tengkujuh wajar diberikan pengiktirafan.
Penyelarasan antara agensi pengurusan bencana, penggerakan aset dan anggota penyelamat serta pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional merupakan antara langkah penting dalam memastikan tindak balas yang lebih tersusun.
Pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa lokasi juga menunjukkan persediaan sedang dilaksanakan. Namun, kesiapsiagaan bencana tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan kecekapan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan.
Kita perlu melihat satu dimensi yang lebih asas iaitu bagaimana bandar kita dirancang dan bagaimana fasilitinya diurus.
Dalam konteks ini, perancangan bandar dan pengurusan fasiliti mempunyai peranan yang saling melengkapi. Perancangan bandar menentukan bagaimana tanah digunakan, di mana pembangunan dibenarkan, bagaimana infrastruktur disediakan dan bagaimana kawasan berisiko diurus.
Pengurusan fasiliti pula memastikan bangunan, kemudahan awam dan sistem sokongan fizikal berfungsi dengan baik, selamat dan berterusan. Kedua-duanya sebenarnya merupakan komponen penting dalam membina daya tahan bandar terhadap bencana.
Sebagai contoh, risiko banjir bukan hanya ditentukan oleh jumlah hujan yang turun. Ia juga dipengaruhi oleh corak pembangunan, perubahan guna tanah, kehilangan kawasan tadahan air, pembangunan di dataran banjir, kapasiti sistem saliran dan keupayaan infrastruktur bandar mengendalikan air larian permukaan.
Apabila kawasan semula jadi yang berfungsi menyerap dan menyimpan air ditukar kepada kawasan berturap dan dibangunkan tanpa perancangan mencukupi, risiko banjir dan limpahan air boleh meningkat. Oleh itu, perancangan bandar perlu memastikan aspek pengurangan risiko bencana diintegrasikan dalam rancangan pembangunan, termasuk melalui kawalan guna tanah, perlindungan kawasan tadahan, rizab sungai, kolam takungan dan penyediaan infrastruktur hijau-biru.
BANDAR PERLU DIRANCANG UNTUK MENGHADAPI RISIKO
Namun, perancangan baik sahaja tidak mencukupi. Infrastruktur dan fasiliti dibina perlu diselenggara serta diurus secara berkesan. Sistem saliran yang tersumbat, pam tidak berfungsi, penyelenggaraan sungai dan parit yang tidak konsisten serta kegagalan sistem sokongan bangunan boleh menjejaskan keupayaan bandar menghadapi hujan lebat.
Di sinilah pengurusan fasiliti memainkan peranan strategik. Ia bukan sekadar kerja membaiki kerosakan tetapi melibatkan pemeriksaan berkala, penyelenggaraan pencegahan, pengurusan aset dan pemantauan prestasi infrastruktur serta bangunan.
Pusat Pemindahan Sementara (PPS) merupakan satu lagi contoh yang memperlihatkan hubungan antara kedua-dua bidang ini. Dari perspektif perancangan bandar, lokasi PPS perlu dikenal pasti berdasarkan tahap keselamatan, kebolehcapaian dan kedudukannya relatif kepada kawasan berisiko.
Laluan ke PPS juga perlu dirancang supaya tidak mudah terputus ketika banjir. Dari perspektif pengurusan fasiliti pula, bangunan dijadikan PPS perlu mempunyai bekalan air bersih, elektrik, tandas, bilik mandi, sistem sanitasi dan ruang yang mencukupi.
Kemudahan untuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) juga perlu diberikan perhatian.
PPS bukan sekadar bangunan dibuka ketika kecemasan tetapi merupakan fasiliti perlindungan awam yang perlu dirancang, disediakan dan diurus dengan standard tertentu.
Pengalaman menghadapi jerebu juga memberikan pengajaran yang sama. Walaupun punca jerebu mungkin berada di luar sempadan bandar dan negara, namun perancangan bandar serta pengurusan bangunan masih boleh mengurangkan pendedahan masyarakat terhadap kesan pencemaran udara.
Bangunan awam seperti sekolah, hospital dan universiti perlu mempunyai sistem pengudaraan dan penyaman udara disenggara dengan baik, termasuk keupayaan pengurusan kualiti udara dalaman yang bersesuaian.
Perkhidmatan penting juga perlu mempunyai pelan kesinambungan operasi ketika kualiti udara merosot.
Justeru, sudah tiba masanya kesiapsiagaan bencana dijadikan sebahagian daripada agenda perancangan dan pengurusan bandar secara berterusan, bukan hanya diaktifkan apabila musim tengkujuh tiba atau apabila bencana berlaku.
Rancangan pembangunan perlu mengambil kira peta risiko bencana dan unjuran perubahan iklim. Pada masasama, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemilik bangunan dan pengurus fasiliti perlu mempunyai pelan penyelenggaraan dan kesiapsiagaan yang jelas.
Penyelarasan antara perancang bandar, jurutera, arkitek, pengurus fasiliti dan agensi pengurusan bencana juga perlu diperkukuh.
Akhirnya, bandarberdaya tahan bukan sekadar bandar yang mempunyai sistem amaran awal atau keupayaan memindahkan mangsa dengan pantas. Ia ialah bandar dirancang dengan mengambil kira risiko, dibangunkan secara terancang, mempunyai infrastruktur yang berfungsi dan fasiliti bersedia menghadapi keadaan luar jangka.
Jerebu mungkin reda dan banjir akhirnya akan surut tetapi cabaran sama akan kembali. Kita tidak seharusnya terus menganggap setiap bencana sebagai kejadian luar biasa sedangkan risikonya sudah diketahui.
Oleh itu, sudah tiba masanya kita beralih daripada sekadar bertindak apabila bencana berlaku kepada usaha merancang dan mengurus bandar dengan lebih baik sejak awal.
Perancangan bandar yang mengambil kira risiko bencana, disokong oleh pengurusan fasiliti cekap dan berterusan, merupakan asas kepada bandar lebih selamat dan berdaya tahan.
Kita mungkin tidak mampu menghalang bencana daripada berlaku tetapi kita mampu memastikan bandar dan masyarakat lebih bersedia untuk menghadapinya. -UTUSAN
DR. Muhammad Faris Abdullah ialah Pensyarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
PROFESOR Madya Dr. Noor Suzilawati Rabe ialah Pensyarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











