Bayi 11 bulan ditanam hidup-hidup bersama sangkar anjing

Bayi 11 bulan ditanam hidup-hidup bersama sangkar anjing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLUMBIA: Seorang bayi lelaki berusia 11 bulan yang didakwa dilarikan bapanya pada Isnin ditemukan selamat selepas dijumpai ditanam di dalam tanah bersama sangkar anjing, dalam kejadian di South Carolina, Amerika Syarikat (AS).

Sheriff Daerah Lexington, Bryan Koon, berkata bayi itu ditemukan masih hidup di dalam sangkar anjing yang dibalut dengan tuala.

Katanya, tuala berkenaan dipercayai membolehkan bayi itu mendapat bekalan udara mencukupi untuk terus hidup walaupun tertimbus di dalam tanah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan anggaran kami, bayi itu berada di bawah timbunan tanah selama kira-kira 24 jam,” katanya kepada pemberita.

Mangsa, yang mempunyai berat kira-kira sembilan kilogram (kg), dengan rambut kemerahan dan dilihat menggunakan puting bayi.

Pejabat sheriff berkata bayi itu dibawa oleh bapanya, Michael Comer, pada pagi Isnin.

Sangkar anjing berkenaan ditemukan kira-kira pukul 1.30 tengah hari Selasa, berhampiran rumah Comer.

Comer ditahan pada lewat Isnin di Daerah Lexington atas tuduhan pecah masuk selepas ditemukan di sebuah bangunan tambahan. Bagaimanapun, bayi itu tiada bersamanya ketika dia ditahan, menurut pejabat sheriff.

Isnin lalu, mangsa, Koah Sharpe, berada di bawah jagaan ibu Comer sebelum lelaki itu datang ke rumah berkenaan. Ibu Comer kemudian keluar untuk menguruskan sesuatu, manakala seorang lagi penjaga sedang dalam perjalanan ke situ, kata Koon.

“Apabila penjaga itu tiba, Michael sudah tiada dan Koah turut dibawanya,” katanya.

Koon berkata, anggota polis pergi ke rumah bapa Comer kira-kira tengah hari Isnin dan mendapati pintu rumah terbuka serta barangan keperluan bayi berada di dalam rumah, namun tiada kelibat Comer atau Koah.

Operasi mencari bayi itu turut melibatkan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang South Carolina, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF) AS.

Menurut Koon, hampir 100 anggota polis, anggota bomba dan pegawai agensi lain menyertai operasi pencarian berkenaan.

Pada Selasa, pasukan mencari menemukan satu lokasi tidak jauh dari rumah bapa Comer, kira-kira 46 meter ke dalam kawasan hutan, dengan tanah di situ kelihatan baru digali.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini