Dakwaan DAP tak iktiraf Raja-Raja Melayu satu fitnah

Dakwaan DAP tak iktiraf Raja-Raja Melayu satu fitnah

ADLY ketika ditemui pada sidang akhbar harian di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dakwaan bahawa kepemimpinan DAP tidak menerima gelaran kebesaran kerana enggan mengiktiraf institusi Raja-Raja Melayu merupakan fitnah yang bertujuan memburuk-burukkan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan itu tidak berasas kerana terdapat pemimpin DAP yang menerima gelaran kebesaran, termasuk ketika PH menerajui pentadbiran negeri Melaka.

Katanya, pemimpin tertinggi DAP, Tan Sri Lim Kit Siang juga merupakan antara individu yang menerima gelaran kebesaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya kenyataan itu satu fitnah. Kalau kita lihat ketika kerajaan PH memimpin, ada pemimpin DAP yang berjawatan menerima gelaran dan sebagainya, termasuk di negeri Melaka.

“Yang kedua, kalau kita lihat pemimpin tertinggi DAP, Tan Sri Lim Kit Siang juga menerima gelaran,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Maslan mempersoalkan ketiadaan gelaran kebesaran seperti Datuk dalam kalangan pemimpin utama DAP yang didakwanya berkait dengan pendirian parti itu terhadap institusi Raja-Raja Melayu.

Katanya, pemimpin DAP tidak cenderung menerima gelaran berkenaan kerana enggan mengiktiraf kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.

“Anthony Loke mana ada Datuk, Nga Kor Ming mana ada Datuk, Teresa Kok pun tidak ada Datuk. Kenapa mereka tidak mahu menerima Datuk-Datuk?

“Kerana mereka tidak mahu mengiktiraf Raja Melayu dan tidak mahu tunduk kepada Raja Melayu,” katanya ketika berucap di Kampung Lendu Dalam, Alor Gajah malam tadi.

Ahmad Maslan turut mengaitkan perkara itu dengan perbezaan ideologi antara UMNO dan DAP termasuk berkaitan konsep negara sekular serta kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Adly berkata, ketiadaan gelaran kebesaran dalam kalangan pemimpin politik tidak seharusnya dijadikan ukuran terhadap pendirian mereka mengenai institusi Raja-Raja Melayu.

Beliau turut memberikan contoh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang tidak mempunyai gelaran kebesaran.

“Kalau kita lihat pemimpin UMNO sendiri, ada yang tidak bergelar seperti KJ.

“Kalau dahulu di Melaka, antara yang menjadi idola juga ialah Tun Ghafar Baba. Beliau menerima gelaran selepas meninggal dunia.

“Jadi, sebab itu saya simpulkan kenyataan tersebut satu fitnah untuk memburuk-burukkan PH,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini