SAN FRANCISCO: Syarikat pembangunan kecerdasan buatan (AI), Anthropic, melancarkan model terbaharunya yang lebih berkuasa sewaktu membuat persiapan akhir bagi pelancaran Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Wall Street yang amat dinantikan bulan ini.
Model baharu terbaharu terbabit, Fable 5.2 dan Mythos 5.2, berkeupayaan beroperasi sehingga 30 peratus lebih pantas berbanding versi terdahulu terutamanya bagi tugasan kompleks seperti pengaturcaraan pada kos 20 peratus lebih rendah.
Kedua-dua model dibina berasaskan struktur teras yang sama, di mana Fable 5.2 dilengkapi perlindungan keselamatan bagi menyekat sebahagian besar tugasan keselamatan siber dan biologi demi membolehkan ia diakses oleh pengguna umum.
Sebaliknya, Mythos 5.2 mempunyai sekatan yang lebih longgar dan hanya ditawarkan secara khusus kepada organisasi berdaftar yang menjalankan penyelidikan dalam bidang keselamatan siber serta bioperubatan.
Pelancaran versi terbaharu ini hadir selepas versi awal Fable dan Mythos pernah mencetuskan kontroversi sewaktu mula diperkenalkan pada Jun lalu berikutan tindakan Jabatan Perdagangan AS menyekat akses warga asing atas faktor keselamatan nasional.
Langkah Anthropic melancarkan IPO pada minggu 16 November ini dijangka mampu meraih dana sehingga AS$100 bilion (RM442 bilion), sekali gus merekodkan saiz IPO terbesar dalam sejarah pasaran saham global.
Firma penyelidikan yang berpangkalan di San Francisco itu dijangka mencapai penilaian pasaran melebihi AS$1 trilion (RM4.42 trilion, meskipun anggarannya menyusut berbanding unjuran awal yang pernah mencecah AS$2 trilion (RM8.84 trilion).
Pendaftaran syarikat itu di Wall Street kini dijadikan penanda aras utama oleh penganalisis bagi menilai sejauh mana lonjakan perbelanjaan sektor AI mampu terus memacu pertumbuhan ekonomi AS.
Pertumbuhan kewangan Anthropic disifatkan amat pesat apabila meraih pendapatan AS$17 bilion (RM75.14 bilion) pada suku ketiga berbanding AS$1.4 bilion (RM6.19 bilion) bagi tempoh sama tahun lalu, meskipun kadar pertumbuhannya mula perlahan akibat persaingan sengit daripada OpenAI dan model bajet China.
Bagaimanapun, Anthropic turut merekodkan kerugian operasi sebanyak AS$567 juta (RM2.51 bilion) pada suku ketiga berikutan peningkatan kos bagi kapasiti pemprosesan jangka pendek.
Kemenangan Parti Demokrat yang menguasai semula Kongres AS dalam pilihan raya pertengahan penggal baru-baru ini turut mencetuskan kebimbangan pelabur berhubung potensi mengetatkan kawalan kawal selia serta sekatan pembinaan pusat data baharu yang boleh menjejas perancangan pertumbuhan Anthropic. -AFP








