Kesihatan M. Jamil merosot selepas bercerai – Sadiq - Utusan Malaysia

Kesihatan M. Jamil merosot selepas bercerai – Sadiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sadiq meluahkan kebimbangan terhadap keadaan kesihatan bapanya, pelakon dan pengarah popular era 1980-an, M. Jamil, yang didakwa semakin merosot selepas berpisah dengan isterinya, Shahrila Markom, pada 28 Oktober lalu.

Sadiq, 28, berkata bapanya masih bersedih dengan perceraian itu, namun dia bersama adik-beradik lain tidak pernah putus memberikan sokongan serta memastikan segala keperluan M. Jamil terjaga.

“Selepas perceraian, kesihatan ayah sekarang memang tidak begitu baik. Walau bagaimanapun, kami adik-beradik sentiasa memberikan sokongan dan menjaga keperluan ayah, termasuk makan minum, kewangan serta penjagaannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami sentiasa memastikan ayah dijaga dengan baik supaya dia sihat dan gembira. Kami tidak mahu dia bersedih, lebih-lebih lagi pada usia sebegini. Jadi, kami adik-beradik sentiasa ada untuk ayah.

“Sejujurnya, keadaan itu memang memberi kesan kepadanya kerana dia terlantar sakit. Apabila isteri sudah tiada di sisi, sudah tentu dia berasa sedih dan tidak gembira,” katanya.

Sadiq berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Kacau di TGV, KLCC, di sini, semalam.

Mengulas mengenai punca perpisahan bapanya, Sadiq berkata keputusan itu dibuat selepas kedua-dua pihak tidak lagi mempunyai persefahaman meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan rumah tangga mereka.

“Kalau boleh, saya sendiri tidak mahu terlalu bercerita tentang hal keluarga. Saya juga lebih suka berkongsi perkara yang baik tentang keluarga.

“Bagaimanapun, apa yang boleh saya kongsikan ialah mereka tidak lagi mempunyai persefahaman.

“Ayah memang mahu cuba menyelamatkan perkahwinan tersebut. Seperti yang kita semua tahu, dia juga pernah berkongsi perkara itu kepada pihak media.

“Tetapi kita tidak boleh memaksa keadaan. Akhirnya, mereka sudah berbincang dan mencapai kata sepakat bahawa perceraian adalah jalan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Sadiq tidak menghalang sekiranya bapanya berhasrat untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini.

Bagaimanapun, dia berharap M. Jamil memberikan keutamaan kepada kesihatan dan proses pemulihan dirinya sebelum memikirkan soal mencari pasangan baharu.

“Betul, seperti yang pernah dikongsikan kepada pihak media sebelum ini, ayah ada menyatakan hasrat untuk mencari pasangan baharu.

“Kami sebagai anak-anak tidak pernah menghalang. Cuma, buat masa sekarang, kalau boleh kami mahu dia lebih memberikan tumpuan kepada kesihatannya dahulu.

“Kami mahu dia sihat terlebih dahulu. Selepas itu, jika dia mahu mencari pasangan atau berkahwin semula, kami tidak pernah menghalangnya,” katanya.

Pada 28 Oktober lalu, M. Jamil, 62, sah bercerai talak satu dengan isterinya, Shahrila Markom di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak, Selayang, selepas lapan bulan prosiding perbicaraan berlangsung.

Hasil perkongsian hidup selama 12 tahun, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Sarimah Salma, 11, dan Laila Jamila, 9, yang kini berada di bawah penjagaan Shahrila.

M. Jamil mendirikan rumah tangga dengan Shahrila pada 24 Mei 2014 selepas kematian isteri ketiganya, Allahyarham Siti Rohani Wahid pada 2010.

M. Jamil yang juga anak kepada seniwati Datuk Sarimah Ahmad, 84, mengalami strok sejak lapan tahun lalu selain berdepan komplikasi kencing manis sehingga menyebabkan jari kelingking kaki kirinya terpaksa dipotong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini