Amir Daniel sasar tiket merit ke LA28

Amir Daniel sasar tiket merit ke LA28

AMIR Daniel Abdul Majeed mengukir sejarah apabila muncul rakyat Malaysia pertama menghadiahkan pingat emas dalam sukan itu di Sukan Komanwel selepas menjuarai kategori bawah 81 kilogram (kg) lelaki pada temasya Glasgow 2026. - IHSAN MSN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Atlet judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed kini memburu pentas lebih besar apabila meletakkan kelayakan secara merit ke Sukan Olimpik 2028 Los Angeles (LA28) sebagai sasaran utama dalam kariernya.

Atlet berusia 22 tahun itu tidak mahu bergantung kepada laluan kuota, sebaliknya bertekad membuktikan keupayaan sebenar dengan menempatkan diri dalam kelompok terbaik dunia menerusi pungutan mata kelayakan.

Keyakinan itu hadir selepas Amir Daniel mencipta kejayaan membanggakan apabila menghadiahkan emas sulung judo negara pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, selain menamatkan penantian 44 tahun pingat emas acara itu pada Sukan SEA Thailand 2025.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, dia sedar laluan ke LA28 memerlukan perancangan rapi, terutama dalam memilih kejohanan antarabangsa yang mampu memberikan peluang terbaik untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia.

“Setakat ini, segala perancangan berjalan lancar. Apa yang penting sekarang adalah mencari kejohanan yang tepat untuk mengumpul mata kelayakan. Saya perlu menyusun jadual penyertaan dengan baik bagi memastikan peluang ke Olimpik lebih cerah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi Amir Daniel, kelayakan secara merit mempunyai nilai tersendiri kerana ia menjadi bukti kemampuan seseorang atlet untuk bersaing berdasarkan prestasi, bukan sekadar bergantung kepada peluang kuota yang tersedia.

Dia bagaimanapun tidak mahu meletakkan sasaran sekadar melayakkan diri ke temasya berkenaan, sebaliknya menyimpan impian lebih besar untuk membawa pulang pingat dari Los Angeles.

“Harapan saya bukan sekadar untuk layak ke Olimpik, tetapi lebih penting adalah membawa pulang pingat,” katanya.

Dalam masa sama, Amir Daniel turut mengesahkan penyertaannya pada Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia, dengan acara judo dijadualkan di Pulau Pinang, negeri kelahirannya.

Peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri pastinya menjadi motivasi tambahan buat atlet itu untuk mempertahankan reputasi selepas kejayaan terdahulu, sekali gus memburu satu lagi emas dalam kategori bawah 81 kilogram.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini