ALOR GAJAH: Keputusan Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur hari ini yang mengeluarkan perintah baharu membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah memberi peringatan kepada pihak yang menjaga perundangan supaya mematuhi kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kuasa Seri Paduka seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah tertinggi (supreme).
Beliau berkata, UMNO berharap selepas ini tiada lagi polemik yang cuba ditimbulkan mana-mana pihak berkaitan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri itu.
“Mudah-mudahan apa yang sedang, telah berlaku ini memberikan pengajaran kepada kita semua, sama ada kita sebagai pengamal undang-undang atau pun pihak yang menjaga perundangan agar patuhilah titah dan kuasa Tuanku.
“Kerana dalam undang-undang, perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan itu adalah supreme. Ia haruslah dipatuhi. Mudah-mudahan kita tutup buku untuk pewujudan polemik.
“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada keseluruhan kepemimpinan UMNO di semua peringkat, ahli-ahli UMNO, rakyat Malaysia keseluruhannya yang telah menyumbangkan dana dalam crowdfunding yang telah mencukupi RM50 juta sebagai syarat denda yang telah dikenakan,” katanya dalam sidang akhbar di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Ayer Pa’abas di sini hari ini.
Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah terdahulu untuk membebaskan Najib selepas pembayaran denda dan mengeluarkan perintah baharu membenarkannya menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Hakim Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Najib dan pihak pendakwaan berhubung permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan Perintah Pelepasan yang dikeluarkan selepas pembayaran denda RM50 juta.
Najib akan menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah mulai hari ini hingga 23 Ogos 2028.
Ahmad Zahid turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang meletakkan jawatan selaku Menteri Pengangkutan.
Beliau menyifatkan Anthony sebagai seorang yang berprinsip atas tindakan tersebut.
“Beliau seorang yang berprinsip dan beliau memegang prinsip itu. Saya ucapkan terima kasih selama beliau berada sebagai anggota jemaah menteri.
“Kebetulan beliau duduk sebelah kanan saya di dalam mesyuarat Kabinet dan kami akan kehilangan beliau dalam Kabinet. Dan saya ucapkan selamat maju jaya berada di luar Kabinet,” katanya. – UTUSAN











