KUALA LUMPUR: Pelakon, Evertts Gomes menegaskan dia sentiasa menghargai setiap hadiah pemberian peminat, termasuk pakaian yang turut digayakan dalam kehidupan sehariannya.
Menurut Evertts atau nama sebenarnya Evertts McClane Gomes, 28, pemberian tersebut bukan sekadar diterima, malah digunakan sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan dan kasih sayang peminat.
“Tak tahulah orang lain macam mana, tapi saya memang pakai. Kadang-kadang, pakaian yang saya gayakan pun ada yang diberikan oleh peminat.
“Itu salah satu cara saya menunjukkan penghargaan kepada mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Evertts berkata demikian sebagai respons terhadap ciapan seorang individu yang mempersoalkan tindakan segelintir peminat sanggup mengeluarkan wang untuk membeli hadiah buat artis kesayangan mereka.
Individu terbabit turut meluahkan keraguan sama ada hadiah berkenaan benar-benar digunakan atau sekadar diterima tanpa diberikan perhatian oleh golongan selebriti.
“Perkara yang aku tak faham. Peminat bagi hadiah dekat artis, korang ingat dia pakai ke?
“Pandang pun tidak. Bukan nak jadi toxic tapi tak faham macam mana sanggup keluarkan duit,” tulis individu berkenaan.
Bagaimanapun, Evertts mempunyai pandangan berbeza apabila mengakui dia sendiri menggunakan hadiah yang diterima sebagai salah satu cara membalas penghargaan peminat terhadapnya.









