MELAKA: Seramai 3,332 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan mengawal keselamatan bagi memastikan kelancaran proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, penugasan itu meliputi kawalan keselamatan di pusat pengundian, selain pasukan Cantas yang akan digerakkan sekiranya berlaku sebarang kekecohan.
“Pada 14 November ini, seperti yang kita sedia maklum, sebanyak 3,332 anggota kita telah kerahkan untuk mengawal situasi, baik dari segi menjaga tempat mengundi.
“Kita juga ada pasukan Cantas yang akan digerakkan untuk memastikan jika berlaku sebarang kekecohan.
“Pasukan ini yang akan membuat tangkapan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.
Dzulkhairi turut mengingatkan penyokong parti supaya menjaga tingkah laku dan mematuhi undang-undang sepanjang proses pengundian berlangsung.
Katanya, sebarang bentuk paksaan atau ugutan terhadap pengundi perlu dielak bagi memastikan setiap individu dapat menunaikan tanggungjawab mereka dalam keadaan aman.
“Untuk 14 November, penyokong parti kita minta supaya menjaga tingkah laku dan adab.
“Kita ada undang-undang dan tidak boleh berbuat sewenang-wenangnya. Semua orang ada hak masing-masing.
“Jadi, jangan ada paksaan dan ugutan dan sebagainya dan undilah dalam keadaan yang aman,” katanya.
Katanya, keadaan keselamatan sepanjang tempoh kempen PRN Melaka setakat ini berada dalam keadaan terkawal tanpa sebarang insiden.
Bagi PRN Melaka kali ini, seramai 687,697 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka untuk memilih kepemimpinan baharu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon di 24 kerusi diikuti Barisan Nasional (BN) (23), Parti Bersama Malaysia (Bersama) (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (7), Perikatan Nasional (PN) (5), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (1) dan Bebas (tiga).
Pada PRN Melaka 2021, BN menang 21 kerusi dan berjaya membentuk kerajaan negeri manakala PH menang lima kerusi dan PN dua kerusi. – UTUSAN










