SINGAPURA: Kapal persiaran kediaman Villa Vie Odyssey yang berdepan masalah kewangan dan menawarkan pelayaran mengelilingi dunia kini disita pihak berkuasa Singapura.
Kapal itu disenaraikan dalam rekod mahkamah sebagai antara kapal yang kini berada di bawah tahanan Sheriff, dengan senarai Mahkamah Singapura menunjukkan Odyssey disita pada pagi Ahad atas permohonan firma guaman tempatan, Helmsman LLC beberapa jam selepas laman penjejakan maritim mengesan kapal itu berlabuh di Singapura.
Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) memberitahu Business Insider kapal berkenaan ditahan mengikut perintah mahkamah.
“Kru yang berada di atas kapal dilaporkan berada dalam keadaan baik, manakala urusan kebajikan dan kesejahteraan mereka dikendalikan oleh pemiutang kapal. Tiada penumpang berada di atas kapal,” menurut MPA.
Tindakan itu merupakan prosedur sivil yang membolehkan pihak yang mengemukakan tuntutan undang-undang memohon perintah mahkamah untuk menyita kapal sebagai jaminan bagi tuntutan berkenaan.
Kali terakhir Odyssey dilaporkan berada di bandar pelabuhan Sihanoukville, Kemboja dua minggu lalu, ketika pelayaran mengelilingi dunia selama 42 bulan itu ditamatkan lebih awal daripada jadual, menyebabkan lebih 200 penumpang terkandas di negara Asia Tenggara berkenaan.
Pengendali kapal yang berpangkalan di Florida itu berkata, keputusan berkenaan terpaksa dibuat susulan kos bahan api yang melonjak sehingga empat kali ganda, dengan kos bulanan bagi setiap kabin mencecah AS$8,000 (RM32,427) di beberapa kawasan Asia.
“Syarikat tidak boleh sewenang-wenangnya memindahkan kenaikan kos sebesar itu kepada penumpang, manakala kekurangan dana yang berlaku menyebabkan model operasi semasa berdepan tekanan kewangan yang tidak lagi mampan,” menurut Villa Vie Residences.
Penumpang tetap kapal berkenaan sebelum ini mendakwa diminta membayar surcaj bahan api pada Mei lalu, selain memaklumkan kapal itu cuba menjimatkan tenaga dengan mengehadkan penggunaan penyaman udara.
Harga sewaan kabin bermula AS$3,499(RM14,183) sebulan, manakala pakej kediaman selama lima tahun ditawarkan pada harga bermula AS$59,999 (RM243,206) dan meningkat sehingga AS$119,999 (RM486,403) bagi kediaman kekal di laut lepas.
Bagaimanapun, harga itu hanya meliputi kabin, dengan caj tambahan sehingga AS$9,500 (RM38,507) dikenakan bagi makanan, minuman, Wi-Fi, rawatan perubatan, perkhidmatan pengemasan dan kos lain.
Odyssey yang dijadualkan singgah di 400 lokasi di 147 negara ketika mengelilingi dunia turut berdepan pelbagai masalah sejak awal pelayarannya.
Kapal itu mengalami sekurang-kurangnya dua kali penangguhan sebelum akhirnya memulakan pelayaran dari Ireland Utara pada 2 Oktober 2024, iaitu empat bulan lewat daripada tarikh asal yang dijadualkan pada 30 Mei tahun sama.
Pada April 2024, kapal itu terlebih dahulu ditempatkan di limbungan kapal di Pulau Queen, Belfast untuk kerja-kerja pengubahsuaian.
Bagaimanapun, masalah mekanikal pada kemudi dan kotak gear menyebabkan kapal itu tidak mendapat kelulusan untuk belayar.
Keadaan itu menyebabkan penumpang yang sudah tiba bagi memulakan kehidupan di atas kapal berkenaan terpaksa menunggu di Belfast sepanjang musim panas hingga musim luruh.-AGENSI











