Perpaduan teras keharmonian, kekuatan negara - Utusan Malaysia

Perpaduan teras keharmonian, kekuatan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum perlu terus dipelihara bagi memastikan keharmonian yang sekian lama menjadi asas kekuatan negara dapat diwarisi generasi akan datang.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin berkata, elemen tersebut penting bagi meningkatkan kebersamaan, sekali gus mampu mengeratkan hubungan silaturahim dalam semangat kekeluargaan.

Malah, katanya lagi, hubungan baik antara masyarakat pelbagai kaum merupakan nilai yang perlu sentiasa disuburkan dan tidak seharusnya terhad kepada program atau sambutan tertentu sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak sekian lama, kita telah membina sebuah masyarakat yang hidup dalam suasana saling menghormati, memahami dan menerima perbezaan antara satu sama lain.

Perpaduan ini bukan sesuatu yang terbina dalam sehari, sebaliknya hasil usaha dan kepercayaan yang telah kita pupuk bersama sejak turun-temurun.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kita semua untuk mempertahankan keharmonian ini dan memastikan semangat perpaduan terus berkembang demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika turun padang menyantuni masyarakat kaum India di Langkap dan merasmikan Program Penyampaian Sumbangan Sempena Deepavali anjuran MIC Bahagian Pasir Salak. Seramai 100 orang penerima sumbangan hadir bersama komuniti setempat menjayakan program tersebut.

Katanya, program berkenaan bukan sekadar bertujuan menyampaikan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan, malah menjadi platform untuk mendekati komuniti, bertanya khabar serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam perhebat semangat kejiranan.

Dalam pada itu, Sri Rahayu turut menegaskan bahawa masyarakat India bukan sekadar sebahagian daripada kelompok masyarakat, sebaliknya merupakan rakan kongsi penting dalam membentuk identiti, kemajuan dan pembangunan Malaysia.

Katanya, keunikan masyarakat Malaysia terletak pada kemampuan rakyatnya untuk hidup bersama dalam kepelbagaian, tanpa mengenepikan identiti, budaya dan kepercayaan masing-masing.

“Amalan kunjung-mengunjung ketika musim perayaan seperti Deepavali, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan perayaan lain merupakan antara contoh bagaimana rakyat Malaysia meraikan perbezaan sambil memperkukuh persaudaraan.

“Kita mungkin berbeza dari segi agama, budaya dan cara hidup, tetapi itu tidak pernah menjadi penghalang untuk kita saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain. Kita meraikan perbezaan, tetapi pada masa yang sama berkongsi harapan yang sama untuk melihat Malaysia terus aman, makmur dan maju.

“Jangan biarkan perbezaan memisahkan kita. Sebaliknya, jadikan kepelbagaian ini sebagai kekuatan untuk kita bergerak ke hadapan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa usaha membina negara yang lebih baik memerlukan komitmen semua pihak, bukan sahaja pemimpin dan organisasi politik, tetapi juga masyarakat di peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Barisan Nasional (BN) atas usaha dan komitmen berterusan dalam memperjuangkan semangat kerjasama serta perkongsian antara kaum.

Katanya, usaha memelihara perpaduan dan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional akan terus dipergiatkan sebagai sebahagian daripada aspirasi untuk membina Malaysia yang lebih stabil, inklusif dan sejahtera.

“Perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi satu amanah yang perlu diterjemah melalui tindakan, keprihatinan dan kesediaan untuk terus bersama-sama membangunkan negara,” katanya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini