Abdul Halim kekal Presiden, Sumali dan Srihassak Timbalan Presiden ASTAF

Abdul Halim kekal Presiden, Sumali dan Srihassak Timbalan Presiden ASTAF

ABDUL Halim Kader (baju merah) dan Mohamad Sumali Reduan (tengah) mengekalkan jawatan mereka di Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Abdul Halim Kader terus menerajui Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) selepas disahkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan presiden badan induk itu bagi penggal baharu.

Keputusan itu disahkan Sekretariat ASTAF selepas hanya satu pencalonan diterima bagi jawatan presiden apabila tempoh penamaan calon berakhir pada pukul 5 petang waktu Malaysia, hari ini.

Turut mengesahkan kemenangan tanpa bertanding ialah Datuk Mohamad Sumali Reduan dari Malaysia dan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Thailand, Dr. Srihassak Arrirachakaran yang masing-masing mengisi dua jawatan Timbalan Presiden.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, persaingan bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Eksekutif masih terbuka apabila jumlah pencalonan yang diterima melebihi kerusi ditawarkan menjelang Mesyuarat Agung Pemilihan ASTAF di Bangkok pada 9 Disember depan.

Dengan kekalnya Abdul Halim maka ia akan membawa kesinambungan kepimpinan selepas beliau sebelum ini pernah menyatakan bahawa penggal 2021 merupakan tempoh terakhirnya menerajui ASTAF.

Namun, sokongan berterusan negara anggota mendorong beliau menerima pencalonan semula bagi memastikan agenda pembangunan sepak takraw antarabangsa tidak terhenti.

Abdul Halim mahu menjadikan usaha membawa sepak takraw ke pentas Sukan Olimpik sebagai antara agenda utama kepimpinannya menerusi pengukuhan hubungan strategik dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

“Perjuangan kita belum selesai. Impian saya adalah melihat sepak takraw dipertandingkan di pentas Olimpik.

“Kita mesti terus bersatu, bekerja lebih keras dan memastikan sukan ini berkembang secara profesional, berintegriti serta memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gandingan Abdul Halim dan Sumali diharap dapat memperkukuh kerjasama negara anggota, memperluas pembangunan atlet serta meningkatkan mutu pertandingan antarabangsa, sekali gus meneruskan usaha mengangkat sepak takraw ke tahap lebih tinggi dan merealisasikan impian untuk melihat sukan warisan Asia itu mendapat tempat di pentas Olimpik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini