Wanita conteng kotak panel elektrik kalimah Allah, tanda salib ditahan

Wanita conteng kotak panel elektrik kalimah Allah, tanda salib ditahan

NAAZRON ABDUL YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan berhubung penularan rakaman video yang memaparkan perbuatan khianat dengan melukis kalimah Allah dan tanda salib pada sebuah kotak panel kawalan elektrik di tepi jalan di kawasan Taman Sutera, Kajang, Selangor.

Wanita berusia lingkungan 40-an ditahan di sekitar Kajang selepas Polis Daerah Kajang menerima satu laporan berhubung kejadian berkenaan kira-kira pukul 12.16 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, susulan laporan itu, sepasukan pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berjaya menahan wanita terbabit kira-kira pukul 2.15 petang tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Turut dirampas beberapa barangan termasuk cat berwarna merah dan pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian termasuk mendapatkan keterangan saksi serta meneliti rakaman video yang tular,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi perbuatan dengan sengaja melukakan perasaan agama seseorang.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan khianat.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali tertakluk kepada pembuktian elemen kesalahan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,”jelasnya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim menerusi talian 017-888 1475.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini