SEPANG: Polis mengesahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun adalah antara tiga yang maut disambar petir di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, dua lagi mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 16 dan 26 tahun.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk bedah siasat.
“Mangsa sebelum itu berteduh di bawah pokok disebabkan hujan sebelum disambar petir.
“Sebelum itu, ketiga-tiga mangsa berteduh di bawah pokok selepas membaiki sebuah kenderaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip video memaparkan tiga jasad yang sudah bertutup dengan kain batik terbaring di bawah pokok.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa berada di lokasi kejadian selepas kereta dinaiki rosak. – UTUSAN








